
PANTU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua hari ini bagi mengesan remaja lelaki yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai diserang buaya ketika menjalankan aktiviti menjala ikan di Sungai Seterap, di sini.
Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, operasi diteruskan seawal 7.00 pagi dengan kekuatan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman yang diketuai Komander Operasi, PBK I Noor Faqriakmal.
Pasukan bomba tiba di lokasi pada 8.00 pagi sebelum taklimat operasi melibatkan semua agensi yang terlibat diadakan pada 8.30 pagi.
Operasi SAR kemudian dimulakan pada 8.40 pagi dengan tumpuan pencarian dalam radius tiga kilometer ke hilir Sungai Seterap dari lokasi terakhir mangsa dilihat.
JBPM memaklumkan operasi menggunakan sebuah bot penyelamat, sebuah kenderaan pacuan empat roda serta sebuah jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bagi membantu usaha pencarian.
Mangsa memakai baju putih dan seluar hitam panjang ketika kejadian, namun sehingga kini masih belum ditemukan.
Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada ibu mangsa, Puteh Bujang, seramai lapan individu termasuk mangsa menaiki empat buah perahu untuk menjalankan aktiviti menjala ikan di Sungai Seterap.
Ketika aktiviti tersebut berlangsung, jala yang digunakan dipercayai tersangkut pada sebatang kayu di dasar sungai sebelum mangsa bertindak menyelam untuk melepaskannya.
Bagaimanapun, mangsa tidak timbul semula selepas menyelam, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarga yang berada di lokasi.
Pakcik mangsa kemudian memaklumkan kejadian itu kepada sepupu mangsa dan mereka mengesyaki remaja terbabit diserang buaya selepas terlihat seekor buaya timbul tidak jauh dari lokasi mangsa dipercayai hilang.
Operasi hari kedua turut mendapat bantuan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kekuatan enam anggota, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) seramai lima anggota serta kira-kira 30 penduduk kampung yang bersama-sama membantu usaha pencarian.
Sehingga laporan ini dikeluarkan, operasi SAR masih diteruskan dan pihak berkuasa akan terus memperluaskan pencarian sehingga mangsa berjaya ditemui.
Oleh Adi Safarman



