Marudi bakal jadi pentas perebutan Raja Sungai Baram mulai esok

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

MARUDI: Sebanyak 63 perahu daripada 23 pasukan bakal berentap dalam 22 acara perlumbaan sempena Regata Baram 2026 yang berlangsung selama empat hari, bermula esok (23 Julai) hingga Ahad ini (26 Julai), bagi merebut gelaran Raja Sungai Baram.

Selain perlumbaan perahu, acara bot berkuasa tinggi turut mendapat sambutan dengan penyertaan sebanyak 162 bot daripada 64 pasukan yang akan bersaing dalam 23 kategori perlumbaan.

 TEBINGAN Marudi  mula dibanjiri pengunjung dari luar dan tempatan sempena Regata Baram 2026 bermula esok.

Sementara itu, sempena penganjuran Regata Baram 2026, Pengawal Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSSS) memaklumkan bahawa sebahagian laluan trafik di perairan Batang Baram, Marudi akan ditutup sementara bagi memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang pertandingan berlangsung.

Menurut kenyataan LSSS, laluan yang terlibat ialah dari tapak lama Sawmill Yap Hong hingga ke Terminal Penumpang Marudi, melibatkan jarak kira-kira dua kilometer.

Penutupan laluan berkuat kuasa mulai esok hingga Ahad ini dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari.

Sehubungan itu, semua juragan kapal, pengusaha bot dan pengguna sungai dinasihatkan supaya memberi kerjasama serta mematuhi arahan petugas yang bertugas bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

LSSS turut meminta semua pengguna sungai memperlahankan kelajuan dan belayar dengan berhati-hati apabila menghampiri kawasan perlumbaan demi keselamatan semua pihak.

Oleh Jiku Juguong