Pesawat Pan Am yang hilang ditemui di dasar laut selepas 74 tahun

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

BENGALURU: Selepas 74 tahun, sebuah pesawat milik Pan American Airways (Pan Am) yang terhempas di perairan berhampiran Puerto Rico akhirnya ditemui di dasar laut oleh pasukan pencarian penerbangan.

Yayasan Air/Sea Heritage bersama beberapa pihak lain, termasuk program dokumentari Discovery Channel Expedition Unknown, berjaya mengesan bangkai pesawat Pan Am “Clipper Endeavor” di dasar Lautan Atlantik di luar pantai utara Puerto Rico bulan lalu, menurut Discovery pada Selasa.

GAMBAR fail tahun 1945 menunjukkan pesawat Douglas DC-4 Clipper milik Pan American Airways yang serupa dengan pesawat yang terhempas di laut berhampiran pantai Puerto Rico. Foto AFP.

Pesawat jenis Douglas DC-4 itu terbelah kepada dua bahagian selepas terhempas ke laut sejurus berlepas dari Puerto Rico pada 11 April 1952, ketika membawa 64 penumpang dan lima anak kapal.

Walaupun semua yang berada di dalam pesawat terselamat daripada impak awal nahas, hanya 12 penumpang dan lima anak kapal berjaya diselamatkan, manakala selebihnya hilang bersama pesawat.

Tragedi itu membawa kepada pembaharuan besar dalam industri penerbangan, termasuk pengenalan taklimat keselamatan sebelum penerbangan serta demonstrasi prosedur kecemasan kepada penumpang.

“Kami amat terkejut dan gembira dengan penemuan ini, namun pada masa sama tetap menginsafi tragedi yang berlaku di lokasi itu bertahun-tahun lalu,” kata Presiden Yayasan Air/Sea Heritage, Russ Matthews.

Operasi pencarian yang turut melibatkan syarikat Deep Sea Visionmenggunakan teknologi sonar beresolusi tinggi dan berjaya menemui bangkai pesawat pada kedalaman hampir 2,000 kaki di dasar Lautan Atlantik.

Misi itu turut menggunakan dron bawah air autonomi, sekali gus merungkai misteri lokasi sebenar pesawat berkenaan selepas lebih tujuh dekad. – Agensi