WASHINGTON: Pelakon muda, Kaylee Hottle, 18, yang membintangi dua filem Godzilla, maut dalam kemalangan jalan raya di negeri Maryland, Amerika Syarikat (AS), awal pagi Selasa, menurut pihak polis.
Menurut Pejabat Syerif Daerah Frederick, Hottle bersama seorang lagi penumpang berada di dalam sebuah Honda Accord 1995 yang dipandu seorang lelaki berusia 19 tahun apabila kenderaan itu terbabas dari jalan raya dua lorong sebelum merempuh sebuah pembetung.
“Pemanduan pada kelajuan berlebihan dipercayai menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kemalangan,” kata pihak berkuasa yang menerima panggilan kecemasan kira-kira 2.52 pagi waktu tempatan (2.52 petang Waktu Malaysia) dan kini sedang menjalankan siasatan.
Hottle dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia. Pemandu kenderaan itu mengalami kecederaan yang tidak mengancam nyawa, manakala seorang lagi penumpang enggan mendapatkan rawatan.
Pelakon yang mengalami masalah pendengaran itu memegang watak utama Jia dalam filem Godzilla v Kong serta sekuelnya, Godzilla x Kong: The New Empire.
Beliau turut dicalonkan bagi Anugerah Saturn 2024 dalam kategori Persembahan Terbaik oleh Pelakon Muda.
Berita pemergiannya mula dikongsikan oleh bapanya, Joshua Hottle, menerusi satu video penuh emosi menggunakan bahasa isyarat Amerika yang dimuat naik di Facebook.
Sekolah Orang Pekak Texas, tempat Hottle menuntut ilmu, turut menyifatkan pemergiannya sebagai satu kehilangan besar menerusi hantaran di media sosial.
“Hati kami bersama keluarga, rakan-rakan, rakan sekelas dan semua yang mengenali serta menyayangi Kaylee dalam saat yang amat sukar ini,” menurut kenyataan sekolah itu.
Sekolah berkenaan turut memaklumkan bahawa mereka masih mempunyai maklumat yang terhad mengenai kejadian itu dan meminta orang ramai menghormati privasi keluarga Hottle serta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kemalangan tersebut. — AFP




