KUCHING: Sambutan Hari Sarawak hari ini bukan sekadar memperingati detik bersejarah apabila Sarawak mencapai pemerintahan sendiri pada 1963, malah menjadi simbol kepada identiti, perpaduan dan tekad rakyat negeri ini untuk terus menentukan hala tuju masa depan dalam Persekutuan Malaysia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap berkata, Hari Sarawak wajar dijadikan medan untuk rakyat mengenang sejarah sambil memperbaharui komitmen dalam membangunkan negeri secara bersama.
Menurutnya, perjalanan Sarawak sentiasa unik dengan kepelbagaian budaya, keharmonian antara kaum dan agama serta semangat keterangkuman yang menjadi asas kepada keamanan dan kestabilan yang dinikmati hari ini.
“Nilai-nilai ini perlu terus dipelihara sebagai panduan dalam membina Sarawak yang lebih kukuh dan makmur demi generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Sarawak.
Beliau berkata, prinsip ‘Sarawak Didahulukan’ yang diperjuangkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bukan sekadar slogan politik, sebaliknya komitmen untuk sentiasa mengutamakan kepentingan, hak dan kebajikan Sarawak serta seluruh rakyatnya mengatasi kepentingan politik kepartian.
Katanya, setiap dasar, keputusan dan rundingan yang dilaksanakan harus memberi manfaat terbaik kepada rakyat Sarawak.
Yap berkata, di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kerajaan GPS berjaya mempertahankan hak-hak perlembagaan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), memperkukuh kedudukan ekonomi negeri, memperluaskan peluang pendidikan, meningkatkan kemudahan kesihatan serta memperoleh kawalan yang lebih besar terhadap sumber asli Sarawak.
“Semua pencapaian ini membuktikan apa yang mampu dicapai apabila Sarawak bersatu dan bercakap dengan satu suara,” katanya.
Beliau turut mengajak seluruh rakyat Sarawak supaya bukan sahaja meraikan sejarah negeri, malah terus bersama-sama merealisasikan aspirasi untuk membina Sarawak yang lebih progresif, berdaya tahan dan bersatu.
“Semoga semangat 22 Julai terus menyuntik iltizam untuk menjayakan prinsip ‘Sarawak Didahulukan’ agar anak-anak dan generasi akan datang mewarisi sebuah Sarawak yang lebih kukuh, makmur dan yakin menentukan masa depannya sendiri.
Oleh Connie Chieng





