BINTULU: Jelajah Kuching City FC ke Miri, Bintulu dan Sibu disifatkan sebagai langkah positif dalam usaha mendekatkan pemain profesional dengan peminat bola sepak di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, inisiatif itu memberi peluang kepada penyokong bertemu secara bersemuka dengan pemain, sekali gus mengeratkan hubungan antara pasukan dan komuniti.
“Saya rasa ini (jelajah) adalah berita baik untuk semua peminat bola sepak.
“Sebab itu, saya menganjurkan majlis makan malam ini bukan sahaja untuk pemain pasukan, tetapi juga untuk semua peminat bola sepak di Bintulu,” katanya ketika ditemui media pada majlis makan malam bersama pemain Kuching City FC di Restoran Apple di sini, semalam.
Menurutnya, program seumpama itu mampu meningkatkan minat masyarakat terhadap bola sepak selain memberi inspirasi kepada generasi muda untuk mendekati sukan berkenaan melalui interaksi secara langsung dengan pemain profesional.
Johnny turut berharap lebih banyak program melibatkan pemain profesional dapat dianjurkan di Bintulu bagi memperkukuh hubungan antara pasukan dan penyokong serta menyemarakkan lagi perkembangan bola sepak di Sarawak.
Majlis makan malam itu menghimpunkan pemain Kuching City FC bersama peminat bola sepak tempatan.
Namun, difahamkan dua pemain kelahiran Bintulu yang mewakili Kuching City FC, Jimmy Raymond dan Roney Kelvin, tidak dapat menghadiri majlis berkenaan kerana sedang menjalani latihan bersama skuad kebangsaan.
Oleh Carolyne Utih





