Produk halal perlu penuhi keperluan sejagat, tembusi pasaran bukan Islam

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Produk halal perlu dilihat sebagai penyelesaian kepada keperluan manusia sejagat dan tidak lagi terhad kepada pasaran pengguna Islam semata-mata.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, produk yang melalui proses pensijilan halal dan mampu memenuhi keperluan masyarakat berpotensi menembusi kedua-dua pasaran halal dan bukan halal.

“Pendekatan ini penting bagi membolehkan industri halal berkembang seiring dengan perubahan ekonomi global yang dipengaruhi pelbagai cabaran, termasuk perubahan iklim, keselamatan makanan dan penjagaan kesihatan.

“Kalau prosesnya halal, produknya halal. Jika produk itu dapat memenuhi keperluan manusia, maka ia bukan sahaja mampu menembusi pasaran halal, malah pasaran bukan halal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pameran Halal Antarabangsa Borneo (BIHAS) 2026 di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

PREMIER Sarawak berucap pada Majlis Perasmian BIHAS 2026, di sebuah hotel terkemuka, Kuching.

Menurut beliau, industri halal perlu menghasilkan produk strategik yang mampu memberi manfaat kepada semua pengguna tanpa mengira latar belakang agama.

“Kerjasama antara ahli akademik, saintis dan pemain industri perlu diperkukuh bagi meneroka pendekatan baharu dalam menangani isu keselamatan makanan dan penjagaan kesihatan yang semakin mencabar.

“Pasaran halal juga tidak perlu terlalu bergantung pada pasaran global secara keseluruhan. Sebaliknya, kita perlu memanfaatkan kedudukan strategik Borneo yang berhampiran ASEAN, China, India dan Asia Timur.

“Rantau tersebut merangkumi kira-kira 40 hingga 50 peratus populasi dunia dan menawarkan potensi besar bagi pengembangan perdagangan serta pelaburan,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa penyelidikan berasaskan sains perlu terus diperkasakan bagi menghasilkan produk bernilai tinggi yang mampu memenuhi permintaan pasaran masa hadapan.

PENYAMPAIAN tanda penghargaan kepada Premier Sarawak sempena Majlis Perasmian BIHAS 2026, di sebuah hotel terkemuka, Kuching.

Dalam pada itu, beliau berkata generasi muda tanpa mengira agama perlu dipersiapkan dengan ilmu pengetahuan dan kepakaran bagi meneroka proses halal serta membangunkan inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat sejagat.

Sementara itu, BIHAS 2026 yang berlangsung dari hari ini hingga 23 Julai menghimpunkan kira-kira 600 delegasi persidangan, 133 pempamer, 33 penceramah serta pembeli, pelabur, wakil agensi kerajaan, penyelidik dan usahawan dari Malaysia serta luar negara.

Bertemakan “Ekosistem Halal Mampan di Borneo”, pameran itu dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) dengan kerjasama Majlis Islam Sarawak dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), serta disokong oleh Business Events Sarawak (BESarawak) dan Shapers Malaysia Sdn. Bhd.

Program selama tiga hari itu menampilkan pameran halal antarabangsa, persidangan, sesi padanan perniagaan, pembentangan usahawan muda, pameran teknologi halal dan ESG serta Dapur Borneo Halal yang mengetengahkan produk makanan halal tempatan. Program itu turut menyasarkan kehadiran kira-kira 50,000 pengunjung.

Oleh Masrin Affirah

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, disokong oleh jangkaan bahawa pelabur asing akan beralih daripada saham teknologi kepada