KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kini sedang meneliti pindaan Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) berasaskan 159 syor yang dikemukakan Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCRC).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata syor yang diterima menerusi Concluding Observations itu meneliti pelbagai aspek termasuk penambahbaikan kerangka perundangan, perlindungan daripada penderaan dan pelaksanaan hak kanak-kanak secara lebih menyeluruh.
“Syor-syor jawatankuasa (UNCRC) yang berkaitan dengan kerangka perundangan dan pelaksanaan Akta 611 akan diteliti dan diambil kira dalam proses semakan akta tersebut yang kini sedang giat dilaksanakan oleh KPWKM.
“Ini termasuk penambahbaikan yang dapat memperkukuh perlindungan, pemeliharaan, pemulihan, penyertaan dan kesejahteraan kanak-kanak berasaskan prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak,” katanya pada sesi soalan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Pele Peter Tinggom berhubung pindaan Akta Kanak-kanak 2001 bagi memastikan perlindungan hak kanak-kanak selaras dengan keperluan semasa serta Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) dan amalan terbaik antarabangsa.
Mengenai bidang fokus pindaan Akta 611 kelak, Nancy berkata penambahbaikan itu tidak hanya dilakukan KPWKM secara silo, sebaliknya melibatkan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan.
“Dalam konteks Akta Kanak-Kanak 2001, KPWKM akan meneliti syor yang berkaitan dengan mekanisme perlindungan dan pelaporan kes, tatacara mahkamah bagi kanak-kanak, penjagaan berasaskan keluarga dan komuniti, pemulihan dan penjagaan susulan, serta peranan ibu bapa, penjaga dan agensi bertanggungjawab,” katanya.
Menurut Nancy, KPWKM turut akan menilai keperluan untuk memperjelas fungsi dan kuasa pihak yang terlibat dalam pengurusan kes kanak-kanak, memperkukuh penyelarasan pelbagai agensi, serta memastikan intervensi dan perkhidmatan yang disediakan lebih responsif kepada keperluan kanak-kanak. – Bernama





