KUCHING: Tabung Darah Hospital Umum Sarawak (HUS) mengambil langkah inisiatif dengan membuka satu (1) Pusat Alternatif Derma Darah HUS.
Langkah inisiatif ini merupakan langkah bersiapsiaga untuk meningkatkan stok darah bagi menjamin bekalan darah yang mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak Covid-19 di Malaysia sejak 18 Mac yang lalu.
Pembukaan pusat alternatif ini diambil kira atas beberapa faktor iaitu kawasan di luar hospital untuk mengatasi kebimbangan penderma yang hadir, keluasan tapak derma darah yang luas, tempat letak kereta yang banyak dan masih berada di pusat bandaraya.
Pusat Alternatif akan dibuka di Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (Hall A) Jalan Padungan, Kuching bermula 24 Mac (Selasa) bermula jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang setiap Isnin hingga Ahad.
Sejajar dengan itu, Pusat Tabung Darah Hospital Umum Sarawak masih beroperasi seperti biasa, Isnin hingga Jumaat pada jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang termasuk waktu makan tengah hari.
Pihak kami turut mengambil langkah dengan melakukan saringan awal iaitu pemeriksaan suhu dan pertanyaan berkenaan sejarah perjalanan dan kesihatan.
Aspek kebersihan turut ditekankan dengan menyediakan hand sanitizer di kaunter saringan.
Hanya bakal penderma yang sihat sahaja dan tiada simpton seperti batuk, demam, selsema dan kesukaran bernafas serta tiada sejarah perjalanan ke negara China, Korea, Jepun, Itali dan Iran dalam tempoh 28 hari boleh hadir menderma di lokasi derma darah.
Pihak kami turut mengamalkan penjarakkan sosial (sosial distancing) sekurang-kurangnya 1 meter dari penderma-penderma lain dan membenarkan tidak lebih 30 orang masuk ke dalam dewan pada satu-satu masa.
Kawasan menunggu turut disediakan di luar dewan.
Sekiranya anda ingin keluar menderma, pihak kami menasihatkan agar para penderma membawa buku pendermaan dan kad pengenalan.
Anda hanya dibenarkan membawa seorang sahaja peneman sekiranya tiada lesen memandu dan digalakkan terus pulang selepas menderma darah.