Raja Felipe VI terima skuad juara Piala Dunia Sepanyol menjelang perarakan kemenangan

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

BANDAR-BANDAR Palestin menyaksikan sambutan kejayaan Sepanyol menjuarai Piala Dunia, dengan ratusan berarak di jalan-jalan membawa bendera Sepanyol. Foto Anadolu Agensi

MADRID: Raja Felipe VI pada Isnin berkenan menerima skuad bola sepak Sepanyol di Istana Diraja Madrid selepas pasukan itu pulang daripada kejayaan menjuarai Piala Dunia di Amerika Syarikat (AS).

Baginda menyifatkan kemenangan Sepanyol sebagai “epik” serta menggelar barisan pemain berkenaan sebagai “pasukan legenda dan bersejarah,” lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

“Kamu semua keletihan, tetapi alangkah indahnya keletihan seperti ini. Tahniah,” titah Raja Felipe kepada para pemain dalam majlis berkenaan.

Baginda menyifatkan kejayaan Sepanyol merangkul kejuaraan Piala Dunia sebagai kemuncak kepada sebuah “pengembaraan panjang” dan meminta pasukan itu menikmati sepenuhnya sambutan kemenangan mereka.

“Masih banyak yang perlu diraikan. Nikmatilah setiap tanda penghargaan kerana kamu semua sememangnya layak menerimanya,” titah baginda.

Raja Felipe turut menzahirkan penghargaan kepada skuad berkenaan bagi seluruh rakyat Sepanyol serta menyatakan bahawa negara itu kini memegang kedua-dua gelaran Piala Dunia lelaki dan wanita.

Baginda bersama Permaisuri Letizia serta dua puteri mereka, Puteri Leonor dan Infanta Sofía menghadiri perlawanan akhir Piala Dunia di East Rutherford, New Jersey pada Ahad.

Dalam hantaran di X, keluarga diraja Sepanyol mengucapkan tahniah kepada pasukan kebangsaan itu dan menyifatkan kemenangan berkenaan sebagai “kejayaan yang akan kekal menjadi sebahagian daripada sejarah sukan Sepanyol.”

Selepas majlis di istana, kapten Rodri dan rakan sepasukannya dijadual mengadakan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Pedro Sánchez sebelum menyertai perarakan menaiki bas terbuka melalui pusat bandar Madrid.

Sehingga sejuta penyokong dijangka berhimpun di Dataran Cibeles pada lewat Isnin bagi meraikan kejayaan Sepanyol menjuarai Piala Dunia.- Bernama-dpa