KOTA SAMARAHAN: Keengganan seorang majikan mematuhi Perintah Mahkamah Buruh akhirnya membawa padah apabila dia didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Kota Samarahan selepas didapati gagal menjelaskan baki gaji kepada bekas pekerjanya.
Menurut kenyataan media Jabatan Tenaga Kerja (JTK), majikan terbabit disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 130C(a), Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76) kerana tidak mematuhi perintah mahkamah untuk membayar baki gaji tertunggak berjumlah RM8,295.42 dalam tempoh yang ditetapkan.
Semasa prosiding berlangsung, tertuduh menukar pengakuannya kepada bersalah. Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,500 atas kesalahan yang dilakukan.

Bagaimanapun, pekerja yang terlibat akhirnya menerima keadilan apabila tertuduh melunaskan sepenuhnya baki gaji berjumlah RM8,295.42 sekali gus mematuhi Perintah Mahkamah Buruh yang telah dikeluarkan sebelum ini.
JTK menegaskan bahawa kegagalan mematuhi Perintah Mahkamah Buruh merupakan satu kesalahan serius dan tindakan undang-undang akan terus diambil terhadap mana-mana majikan yang ingkar terhadap peruntukan Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76).
Menurut jabatan itu, penguatkuasaan serta pendakwaan akan terus diperkasakan bagi memastikan hak pekerja sentiasa dipelihara, selain memberi peringatan kepada semua majikan supaya mematuhi undang-undang buruh yang berkuat kuasa.
Kes berkenaan menjadi peringatan bahawa setiap majikan bertanggungjawab menghormati keputusan Mahkamah Buruh serta memastikan hak pekerja, termasuk pembayaran gaji, diselesaikan mengikut undang-undang demi menjamin keadilan dan kebajikan golongan pekerja di Sarawak.
Oleh Adi Safarman



