BAU: Seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun ditahan selepas polis menemukan sepucuk senapang patah buatan sendiri, sebutir peluru senapang patah dan sebilah pedang dalam pemeriksaan sebuah pondok di belakang rumahnya di Kampung Bijuray, Krokong, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bau, Supt Mohd Haide A Rahman berkata, suspek ditahan kira-kira 8.05 pagi oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau.
“Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan satu laras senapang patah yang dipercayai dibuat sendiri, sebilah pedang bersarung merah sepanjang kira-kira 93 sentimeter serta sebutir peluru senapang patah jenis buckshot berwarna merah yang ditemukan di tepi tilam dalam pondok berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Menurut siasatan awal, suspek mendakwa senapang patah berkenaan dipinjam daripada seorang rakannya, warga Indonesia dikenali sebagai Motik yang bekerja di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran kampung tersebut.
“Suspek memaklumkan senapang itu digunakan untuk aktiviti memburu di kawasan hutan berbukit di belakang kampung. Rakannya dikatakan pulang ke Jagoi Babang, Indonesia pada Mei lalu dan gagal dihubungi sehingga kini, menyebabkan senapang itu masih berada dalam simpanannya,” katanya.
Mohd Haide berkata, siasatan turut mendapati pedang yang dirampas adalah milik bapa suspek yang dibeli sebagai hiasan rumah sebelum disimpan di pondok berkenaan atas alasan keselamatan diri.
Suspek juga mendakwa peluru senapang patah itu dibeli dengan harga RM10 daripada seorang kenalan yang mempunyai lesen senjata api sah.
Beliau berkata, pegawai penyiasat telah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian, mengambil gambar barang kes serta menyediakan lakaran tempat kejadian.
“Senapang patah buatan sendiri yang dirampas akan dihantar ke Cawangan Persenjataan Batu Kawa untuk ujian keberkesanan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Mohd Haide berkata polis turut menyiasat kematian seorang lelaki berusia 50 tahun yang ditemukan tidak sedarkan diri di rumahnya di Kampung Tabong, Singai, Bau semalam.
Kes itu diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR).
Beliau berkata, IPD Bau menerima maklumat kira-kira 2.10 petang tadiselepas seorang pemanggil memaklumkan kepada Pusat Operasi IPD Bau bahawa abang iparnya ditemukan meninggal dunia di kediamannya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati tiada kecederaan atau unsur jenayah dikesan, manakala mayat mangsa telah dihantar ke hospital untuk bedah siasat.
Oleh Connie Chieng





