ENGKILILI: Ketibaan air pasang raja setinggi 6.5 meter telah membolehkan ombak besar atau lebih dikenali sebagai benak menyelusuri sepanjang Sungai Batang Lupar seawal pagi semalam.
Sudah tentunya kehadiran benak telah mewujudkan suasana pemandangan yang menarik di kawasan Taman Tebingan Sungai Batang Lupar hingga ia menggamit perhatian orang ramai di Bandar Simanggang untuk menyaksikan fenomena tersebut dari lokasi itu.
Bagaimanapun kehadiran fenomena benak ini sebenarnya bukan sahaja boleh disaksikan oleh orang ramai yang berada berdekatan Taman Tebingan Sungai Batang Lupar dalam bandar tersebut.
Ini kerana penduduk yang tinggal berdekatan sungai juga boleh menyaksikan kehadiran fenomena benak apabila air pasang raja mula bergerak dari kawasan muara hingga ke hulu Sungai Batang Lupar.
“Kami, penduduk Rumah Panjang Langkang Ulu di sini juga mampu menyaksikan fenonema benak ketika berlangsung air pasang raja di Sungai Batang Lupar,” kata seorang penghuni di situ yang enggan namanya didedahkan di sini.
Jelas beliau, keadaan kewujudan pantai pasir dan dasar sungai yang cetek berdekatan pengkalan sungai rumah panjang mereka membolehkan fenomena benak itu berlaku ketika berlangsung air pasang raja.
“Apabila bunyi deruan ombak mula kedengaran di kawasan hulu, anak muda yang kebetulan berada berdekatan pengkalan sungai akan mula bersedia dengan telefon pintar masing-masing untuk merakam kejadian fenomena alam itu di sini.
“Dengan ketinggian mencecah paras hampir satu meter, gelombang benak berkenaan akan menyelusuri sungai pengkalan kami sebelum ia menghempas kawasan tebing dan hilang beransur-ansur di lokasi seterusnya,” kata beliau.
Penjawat awam itu berkata pemandangan suasana ketibaan benak berdekatan sungai di rumah panjang mereka tidak dikongsi di media sosial selama ini kerana publisiti mengenai fenomena itu sering ditonjolkan di Taman Tebingan Sungai Batang Lupar.
“Justeru, sebagai penghuni Langkang Ulu maka adalah menjadi kebanggaan kami untuk memiliki daya tarikan benak yang tersendiri di sini walaupun ia tidak sehebat benak yang menyelusuri Sungai Batang Lupar di Bandar Simanggang,” kata beliau.
Oleh VALENTINE NGUMBANG