Kerajaan pertimbang dana khas dan insentif cukai bagi NGO, pemilik haiwan peliharaan

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan penyediaan dana khas dalam Belanjawan Persekutuan serta pemberian insentif pengecualian cukai bagi memperkasakan pengurusan kebajikan haiwan terbiar dan meringankan beban pemilik haiwan peliharaan di negara ini.

Setiausaha Politik Pejabat Perdana Menteri (PMO) Datuk Azman Abidin berkata, ketiadaan bajet khas menyebabkan kebanyakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pusat perlindungan haiwan terpaksa bergerak secara sukarela serta menggunakan dana sendiri bagi mengurus serta menyelamatkan haiwan terbiar.

SETIAP haiwan terbiar berhak mendapat perlindungan dan kasih sayang. Sokongan dan pengurusan beretika kunci utama dalam memastikan kesejahteraan haiwan-haiwan ini. Foto sekadar hiasan.

 “Perkara ini sebenarnya bukan sahaja bantu kerajaan tetapi kita tahu bahawa mereka akan menjadikan haiwan peliharaan ini sebagai sebahagian daripada keluarga mereka untuk bagi makan yang cukup dan sebagainya.

“Bila ada dana khas, kita boleh mohon mereka mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ada untuk mendapatkan dana supaya mereka belajar bagaimana cara untuk mengurus haiwan ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Dialog Bersama Agensi, NGO dan Pemain Industri Haiwan Peliharaan (Kucing dan Anjing) di sini hari ini.

Beliau berkata, industri haiwan peliharaan yang berkembang pesat bukan sahaja membuka peluang ekonomi dalam pelbagai sektor sokongan seperti makanan dan perkhidmatan veterinar, malah mencerminkan perubahan gaya hidup masyarakat. 

Azman berkata, perkembangan pesat itu menuntut tanggungjawab pemilikan yang lebih beretika dan berdisiplin demi menjaga kesihatan awam, keselamatan komuniti dan keharmonian kejiranan.

“Isu melibatkan haiwan peliharaan tidak boleh diselesaikan secara bersendirian. Ia memerlukan penglibatan semua pihak agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), NGO, doktor veterinar, pemain industri, akademia serta masyarakat,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan segala cadangan dan penambahbaikan undang-undang hasil majlis dialog berkenaan akan dirumuskan ke dalam satu kertas cadangan rasmi sebelum dikemukakan kepada pihak kerajaan bagi tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, wakil NGO yang hadir, Jurieena Abdul Rani berkata sokongan dana daripada kerajaan amat penting bagi membolehkan NGO membantu PBT mengawal populasi kucing dan anjing jalanan.

“Platform ini memang bagus sebab kita dapat bincang dan mendengar keluhan pihak lain untuk pihak atasan mengetahui apa yang kami hadapi selama ini untuk membantu haiwan ini,” katanya.

Turut hadir pada sesi dialog itu, Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Veterinar)  Jabatan Perkhidmatan Veterinar Dr Aida Muhid, Presiden Persatuan Haiwan Prof Madya Dr Arie Dwi Andika serta Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Dr Nor Halizam Ismail. – Bernama