SPAOH: Seramai 48 wanita daripada Ranting Paku Tengah menyertai Bengkel Kraftangan Pembuatan Baju Ujan (Ngepan Batang Rajang) anjuran Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Saban di Rumah James Meling, Tanjong Baru, Paku, semalam.
Program itu merupakan inisiatif Ketua Wanita PBB Cawangan Bukit Saban, Natasha Nasa Uggah dalam usaha memperkasa kemahiran wanita menghasilkan Baju Ujan, selain memelihara warisan budaya masyarakat Iban dan membuka peluang menjana pendapatan melalui penghasilan kraftangan tradisional.
Natasha berkata, bengkel berkenaan menjadi platform penting untuk memastikan seni pembuatan Baju Ujan terus diwarisi oleh generasi muda, khususnya golongan wanita yang berperanan besar dalam memelihara identiti budaya masyarakat Iban.
Menurut beliau, usaha itu bukan sahaja memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik pembuatan busana tradisional, malah mampu meningkatkan keyakinan mereka untuk menghasilkan produk yang mempunyai nilai komersial.
“Kita mahu lebih ramai wanita menguasai seni pembuatan Baju Ujan agar warisan ini terus dipelihara. Pada masa yang sama, hasil kraftangan yang dihasilkan berpotensi dipasarkan dan memberi nilai tambah kepada ekonomi keluarga,” katanya.
Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta dibimbing oleh tenaga pengajar berpengalaman, Rowena Chinda Gerinsam yang berkongsi kaedah penyediaan bahan, teknik sulaman serta kemasan bagi menghasilkan busana tradisional yang kemas, berkualiti dan mengekalkan keaslian reka bentuknya.
Natasha berkata, penyertaan aktif wanita dalam program seumpama itu mampu menyemai minat yang lebih mendalam terhadap seni warisan, selain menggalakkan penghasilan produk tempatan yang berkualiti serta mempunyai identiti tersendiri.
Beliau turut berharap kemahiran yang dipelajari sepanjang bengkel dapat dimanfaatkan oleh peserta untuk menghasilkan produk kraftangan yang berdaya saing dan mampu dipasarkan ke pasaran yang lebih luas.
“Pembangunan industri kraftangan berasaskan warisan bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan isi rumah, malah menyumbang kepada usaha mempromosikan budaya masyarakat Iban kepada generasi akan datang dan pelancong,” katanya.
Bengkel itu memperlihatkan komitmen Pergerakan Wanita PBB Cawangan Bukit Saban dalam memperkasa wanita melalui pembangunan kemahiran, sekali gus memastikan warisan budaya terus dipelihara sambil mewujudkan peluang ekonomi yang mampan kepada komuniti setempat.
Oleh Adi Safarman



