KUCHING: Walaupun siaran langsung bermula seawal 3.00 pagi, suasana di MBKS Square tetap meriah apabila dianggarkan sekitar 800 pengunjung membanjiri lokasi berkenaan bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia 2026 yang menyaksikan Sepanyol muncul juara dunia selepas menewaskan Argentina 1-0 menerusi jaringan Ferran Torres pada separuh masa kedua masa tambahan, awal pagi tadi.
Program anjuran Dewan Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) itu berjaya menghimpunkan peminat bola sepak daripada pelbagai lapisan masyarakat yang sanggup berjaga malam demi merasai pengalaman menyaksikan aksi kemuncak kejohanan secara beramai-ramai menerusi tayangan skrin gergasi.
Sejak lewat malam tadi lagi, orang ramai mula memenuhi kawasan MBKS Square dengan membawa kerusi perkhemahan, tikar, khemah dan beg tidur bagi mendapatkan tempat terbaik sebelum siaran langsung bermula, sekali gus mewujudkan suasana seperti pesta bola sepak.
Lebih mencuri perhatian apabila seorang penyokong kelahiran Malaga, Sepanyol, Adrian Otero Pensado, 24 turut hadir bersama orang ramai untuk menyaksikan perlawanan tersebut, dengan sorakannya setiap kali pasukan negaranya melancarkan serangan menceriakan lagi suasana di lokasi tayangan.
Sorakan penyokong kedua-dua pasukan bergema setiap kali tercipta peluang berbahaya sebelum akhirnya bertukar menjadi laungan kegembiraan penyokong Sepanyol sebaik Ferran Torres meledak gol kemenangan pada separuh masa kedua masa tambahan untuk menghadiahkan kejuaraan dunia kepada negaranya.
Program itu bukan sahaja menjadi platform kepada peminat bola sepak berkumpul, malah mengeratkan hubungan masyarakat menerusi semangat kesukanan apabila penyokong daripada pelbagai negara dan latar belakang sama-sama menikmati aksi final dalam suasana harmoni.
Walaupun berlangsung pada awal pagi, kehadiran orang ramai membuktikan minat mendalam masyarakat Sarawak terhadap sukan bola sepak, khususnya kejohanan Piala Dunia yang disifatkan sebagai pentas terbesar sukan itu.
Rata-rata pengunjung menyifatkan inisiatif MBKS menyediakan tayangan awam tersebut sebagai usaha terbaik yang memberi peluang kepada orang ramai menikmati detik bersejarah final Piala Dunia dalam suasana selamat, selesa dan penuh kemeriahan.
Kemeriahan sambutan itu berterusan sehingga wisel penamat ditiup, malah hujan renyai yang turun menjelang tamat perlawanan tidak mematahkan semangat para penyokong yang terus setia berada di lokasi bagi meraikan kejayaan Sepanyol, sekali gus menutup tirai Piala Dunia 2026 dengan penuh warna-warni di bandar raya Kuching.




