Sepanyol memang layak julang Piala Dunia, akui Scaloni

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

EAST RUTHERFORD (Amerika Syarikat): Ketua jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, mengakui Sepanyol sememangnya pasukan yang lebih baik selepas skuadnya tewas 0-1 menerusi masa tambahan pada final Piala Dunia 2026 awal pagi tadi.

Gol pemain gantian, Ferran Torres pada babak kedua masa tambahan memastikan Sepanyol menewaskan Argentina yang beraksi dengan 10 pemain di Stadium MetLife sekali gus muncul juara dunia.

Argentina yang diketuai Lionel Messi sebelum itu memburu sejarah untuk menjadi pasukan pertama sejak 1962 mempertahankan kejuaraan Piala Dunia.

“Mereka adalah pasukan yang lebih baik, itu hakikatnya. Tetapi saya akan sentiasa menghargai pasukan ini, apa yang mereka capai dan betapa besarnya usaha untuk sampai sejauh ini,” kata Scaloni, yang kemudian tidak dapat menahan sebak ketika sidang media selepas perlawanan.

“Kita perlu benar-benar menghargai pencapaian ini kerana bukan mudah untuk sampai ke pentas final.”

Scaloni turut meleraikan pergaduhan yang tercetus selepas wisel penamat membabitkan pemain tengah Argentina, Leandro Paredes, sambil menegaskan pasukannya perlu menerima kekalahan dengan penuh bermaruah sebagaimana mereka meraikan kemenangan sebelum ini.

“Kami sentiasa berlapang dada ketika menang dan kami juga perlu berlapang dada apabila kalah. Hari ini kami menunjukkan bahawa kami tahu menerima kekalahan.

“Kami kalah dan kami menerimanya, tetapi itu tidak bermakna kami melupakan segala usaha yang membawa kami ke sini,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada penyokong Argentina atas sokongan luar biasa sepanjang kejohanan yang berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.

“Kepada rakyat, para pemain dan negara, saya ingin katakan bahawa kami telah memberikan segala-galanya.

“Kami datang dengan harapan yang realistik, namun apabila pemain memberikan segala yang ada di atas padang seperti hari ini, ia menjadi contoh terbaik kepada rakyat dan negara.

“Kami perlu bangkit semula. Tiada pilihan lain,” katanya.

Scaloni, 48, berkata kejayaan mara ke final Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut juga wajar diberi penghargaan.

“Saya amat menghargai kedudukan naib juara kerana bukan mudah untuk sampai ke tahap ini. Saya rasa ia wajar diberikan pengiktirafan yang besar.

“Sudah tentu kami mahu menang, tetapi akhirnya apa yang saya rasakan hanyalah rasa syukur, di samping kesedihan.

“Apabila anda sudah memberikan segala-galanya, sama ada bermain baik atau sebaliknya, amat sukar untuk menyalahkan sesiapa,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Scaloni turut membayangkan masa depannya bersama Argentina masih belum pasti dan tidak menolak kemungkinan akan berundur apabila kontraknya tamat pada Disember ini.

Media Argentina sebelum ini melaporkan beliau telah mencapai persetujuan secara lisan untuk terus membimbing skuad itu sehingga Piala Dunia 2030.

“Saya sudah ada gambaran tentang apa yang ingin saya lakukan. Saya akan menghormati kontrak yang ada, kemudian kita lihat nanti.

“Saya perlukan masa untuk berfikir kerana saya tidak pasti sama ada mampu mengulangi pencapaian sebesar ini,” katanya sebelum mengakhiri sidang media dalam keadaan sebak. — AFP