TANJUNG MANIS: Kuala Rajang berpotensi muncul sebagai salah satu kawasan tumpuan industri akuakultur udang di Sarawak berikutan kelebihan ekosistem semula jadinya serta keupayaan pengeluaran yang mampu mencecah 200 tan metrik setahun.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, potensi itu wajar dimanfaatkan bagi menyokong usaha kerajaan Sarawak memperkukuh jaminan makanan dan memperluas sumber pendapatan masyarakat setempat.
“Kuala Rajang mempunyai kawasan hutan paya bakau yang luas, menjadikannya persekitaran sesuai untuk habitat udang dan pelbagai hidupan marin bernilai ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke kolam akuakultur udang milik Syarikat Mas Selumit yang dibangunkan dengan bimbingan teknikal Jabatan Perikanan Sarawak di Selumit, di sini, hari ini.
Projek berkeluasan 22.27 hektar itu mempunyai 25 kolam ternakan dan mampu menghasilkan sehingga 100 tan metrik udang bagi setiap pusingan ternakan selama kira-kira enam bulan.
“Ini bermakna pengeluaran tahunan projek ini boleh mencecah kira-kira 200 tan metrik, sekali gus menunjukkan potensi besar industri akuakultur dalam menyumbang kepada jaminan makanan dan ekonomi setempat,” ujarnya.
Antara spesies yang diternak ialah udang putih dan udang harimau, dengan udang harimau dieksport ke pasaran seperti Korea Selatan, Jepun dan Amerika Utara, manakala udang putih dipasarkan ke seluruh Sarawak.
Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, berkata, kejayaan projek berkenaan menunjukkan industri akuakultur udang berpotensi diperluas ke kawasan lain yang mempunyai kesesuaian tanah dan persekitaran.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan pemilik tanah yang mempunyai kawasan berpotensi supaya mempertimbangkan sektor akuakultur sebagai satu daripada pilihan untuk menjana pendapatan dan merancakkan ekonomi setempat.
Katanya, agensi berkaitan bersedia membantu bakal pengusaha melalui khidmat nasihat, kepakaran teknikal serta bimbingan bagi membangunkan projek akuakultur secara komersial.





