TANJUNG MANIS: Kelangsungan pendapatan nelayan di Kuala Rajang bergantung kepada usaha berterusan semua pihak dalam memelihara sumber perikanan serta mengelakkan aktiviti penangkapan ikan secara berlebihan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, usaha pemuliharaan termasuk pelepasan benih ikan perlu dipergiat bagi memastikan sumber perikanan terus lestari dan mampu menyokong kehidupan komuniti nelayan.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, pengurusan sumber perikanan secara bertanggungjawab penting untuk mengekalkan populasi ikan serta memastikan industri perikanan pantai terus berdaya tahan dalam jangka panjang.
Beliau berkata, komuniti nelayan turut memainkan peranan penting dalam memastikan sumber marin tidak dieksploitasi secara berlebihan sehingga menjejaskan bekalan ikan pada masa hadapan.
“Pemuliharaan sumber marin memerlukan kerjasama semua pihak, khususnya komuniti nelayan yang menjadi tonggak dalam memastikan ekosistem perairan terus terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pelepasan Benih Ikan Siakap di Iftitah Beach Resort, di sini, hari ini.
Len Talif berkata, Kerajaan Sarawak akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menyokong komuniti nelayan serta memperkukuh pembangunan sektor perikanan di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata pembangunan infrastruktur seperti projek pembesaran Lapangan Terbang Tanjung Manis dan penambahbaikan rangkaian jalan raya dijangka meningkatkan potensi ekonomi setempat.
Katanya, kemudahan infrastruktur yang lebih baik akan melancarkan pergerakan hasil laut, selain memudahkan pengusaha perikanan mengakses pasaran yang lebih luas.
“Penambahbaikan infrastruktur bukan sahaja memudahkan urusan logistik dan pemasaran hasil laut, malah membuka lebih banyak peluang kepada pengusaha perikanan serta merancakkan ekonomi di Tanjung Manis dan Kuala Rajang,” ujarnya.




