DEBAK: Penduduk Rumah Chambers Maling, Menyalin Asal kini menikmati kemudahan akses yang lebih selesa dan selamat ke kawasan pertanian selepas siapnya projek naik taraf jalan ladang yang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong menerusi peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Majlis serah siap projek itu diadakan semalam dengan dihadiri wakil JKR Bahagian Betong, Tuai Rumah Chambers Maling, wakil kontraktor T.M. Enterprise serta wakil Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata penyediaan infrastruktur berkualiti merupakan antara pemangkin utama kepada pembangunan luar bandar serta pengukuhan sektor pertanian di negeri ini.
Beliau yang juga ADUN Bukit Saban berkata jalan ladang yang berkualiti adalah kemudahan asas penting bagi memudahkan pergerakan penduduk, mempercepat proses membawa hasil pertanian ke pasaran serta membantu meningkatkan produktiviti dan pendapatan petani.
“Jalan ladang yang berkualiti merupakan kemudahan asas yang amat penting kepada masyarakat luar bandar. Ia memudahkan pergerakan penduduk, mempercepat urusan membawa hasil pertanian ke pasaran serta membantu meningkatkan produktiviti dan pendapatan para petani,” katanya.
Uggah berkata kerajaan akan terus memberi perhatian terhadap keperluan masyarakat luar bandar melalui pelaksanaan projek pembangunan yang memberi impak langsung kepada kehidupan rakyat.
“Pembangunan tidak hanya diukur melalui pembinaan infrastruktur semata-mata, sebaliknya berdasarkan keupayaan kemudahan tersebut meningkatkan kualiti hidup serta menjana peluang ekonomi kepada komuniti setempat,” katanya.
Sementara itu, Tuai Rumah Chambers Maling menyifatkan projek berkenaan amat bermakna memandangkan sebahagian besar penduduk di Menyalin Asal bergantung kepada sektor pertanian sebagai sumber pendapatan utama.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak, khususnya Douglas, selain BDDA, JKR Bahagian Betong, Pusat Khidmat ADUN N.37 Bukit Saban dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek berkenaan.
Katanya, jalan yang dinaik taraf itu bukan sahaja memudahkan penduduk ke kawasan kebun dan membawa keluar hasil pertanian, malah dijangka memberi manfaat jangka panjang dengan meningkatkan kebolehcapaian ke kawasan pertanian sekali gus menyokong produktiviti sektor berkenaan serta memperkukuh pembangunan luar bandar di DUN Bukit Saban.
Oleh Adi Safarman




