35 tukun rekreasi dilabuhkan di perairan Santubong, perkukuh sumber perikanan

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Sebanyak 35 unit tukun rekreasi berjaya dilabuhkan di perairan laut Santubong hari ini sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sumber perikanan serta memelihara kelestarian ekosistem marin di Sarawak.

Menurut kenyataan media Jabatan Perikanan Laut Sarawak, pelaksanaan program itu merupakan antara inisiatif berterusan kerajaan dalam memperkaya habitat hidupan laut sekali gus meningkatkan produktiviti sumber perikanan di kawasan berkenaan.

Katanya, pembinaan dan pelabuhan tukun rekreasi berfungsi sebagai habitat baharu yang mampu menarik pelbagai spesies ikan dan hidupan marin untuk berlindung, membiak serta mencari makanan.

Selain memulihara habitat hidupan marin, program itu turut disasarkan untuk meningkatkan hasil sumber perikanan, sekali gus memberi manfaat kepada komuniti nelayan menerusi peningkatan hasil tangkapan dalam jangka panjang.

Jabatan itu memaklumkan, kewujudan tukun rekreasi juga dijangka merancakkan aktiviti memancing rekreasi serta pelancongan marin yang mampu menjana pendapatan tambahan kepada komuniti setempat.

Menurut kenyataan itu, usaha berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Perikanan Laut Sarawak dalam mengimbangi pembangunan sektor perikanan dengan pemuliharaan sumber semula jadi agar kekal mampan.

Pelaksanaan projek berkenaan turut diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara ekosistem laut sebagai aset penting kepada sektor perikanan dan ekonomi negara.

Jabatan Perikanan Laut Sarawak berharap inisiatif tersebut akan memberi impak positif terhadap kelestarian sumber laut serta memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh generasi akan datang melalui pengurusan sumber marin yang berterusan dan lestari.

Oleh Adi Safarman