SEBUYAU: Projek naik taraf bekalan elektrik yang dilaksanakan kerajaan Sarawak dijangka meningkatkan kebolehpercayaan serta kestabilan sistem bekalan elektrik di Bahagian Samarahan, sekali gus menyokong pembangunan sosioekonomi dan memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek yang dibiayai kerajaan Sarawak itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan bersama Sarawak Energy dalam memodenkan rangkaian bekalan elektrik bagi memenuhi keperluan rakyat serta pembangunan negeri.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja bagi meninjau kemajuan projek naik taraf bekalan elektrik di Kampung Sungai Lumut, di sini, hari ini.
Semasa lawatan tersebut, beliau diberi taklimat oleh Sarawak Energy mengenai pelaksanaan projek yang merangkumi pemasangan lebih 120 kilometer talian Konduktor Bersalut Voltan Sederhana (MVCC), kabel dasar laut sepanjang 1.8 kilometer merentasi Batang Sadong, 63 kilometer kabel gentian optik serta penyusunan semula sistem talian bagi memperkukuh rangkaian bekalan elektrik.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu, projek berkenaan akan memberi manfaat kepada penduduk di Asajaya, Sadong Jaya, Sebuyau, Simunjan dan Gedong menerusi peningkatan kapasiti serta kebolehpercayaan sistem bekalan elektrik.
Katanya, talian MVCC dan rangkaian gentian optik baharu itu akan disambungkan ke Pencawang 33/11kV Sebuyau yang dicadangkan bagi meningkatkan kapasiti bekalan serta kestabilan sistem elektrik di Sebuyau dan kawasan sekitarnya.
Beliau menjelaskan bahawa teknologi MVCC mempunyai lapisan perlindungan yang lebih tahan terhadap sentuhan tumbuh-tumbuhan dan hidupan liar berbanding talian konvensional, sekali gus mengurangkan risiko gangguan bekalan elektrik.
Selain itu, infrastruktur baharu tersebut membolehkan bekalan elektrik dialihkan melalui laluan alternatif ketika kerja penyelenggaraan atau sekiranya berlaku gangguan tidak dijangka, di samping meningkatkan keupayaan pemantauan rangkaian menerusi sistem gentian optik.
“Apabila siap kelak, projek ini dijangka menyediakan bekalan elektrik yang lebih stabil, selamat dan berdaya tahan, sekali gus menyokong pembangunan sosioekonomi serta memenuhi permintaan bekalan elektrik yang semakin meningkat di Bahagian Samarahan,” katanya.




