MALUDAM: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh pembangunan kemudahan awam di kawasan luar bandar menerusi pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026, termasuk projek menaik taraf Padang Bola Sepak Kampung Maludam yang diperuntukkan sebanyak RM150,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, berkata projek berkenaan merupakan antara usaha berterusan kerajaan untuk menyediakan kemudahan sukan dan rekreasi yang lebih selesa, selamat serta memenuhi keperluan masyarakat setempat.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan tapak bagi memantau pelaksanaan projek tersebut bersama Pegawai Pejabat Daerah Kecil Maludam, Noraini Aden, bagi memastikan kerja-kerja pembinaan berjalan mengikut jadual dan spesifikasi yang ditetapkan.
Menurut Dayang Noorazah, projek itu melibatkan pembinaan dataran konkrit serta parit konkrit bertutup yang dijangka dapat meningkatkan keselesaan pengguna selain memperbaiki sistem saliran di kawasan padang.
Katanya, kemudahan yang lebih baik bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk Kampung Maludam, malah mampu menggalakkan lebih banyak penganjuran aktiviti sukan dan riadah yang melibatkan semua lapisan masyarakat.
“Usaha menaik taraf kemudahan awam seperti padang bola sepak bukan sahaja menyediakan persekitaran yang lebih selesa dan selamat untuk aktiviti riadah serta sukan, malah turut menjadi ruang yang mengeratkan hubungan silaturahim dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat, khususnya belia di Maludam,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa projek berkenaan akan diteruskan secara berfasa dengan cadangan sambungan kerja telah disenaraikan di bawah RTP Tahun 2027 bagi melengkapkan lagi kemudahan di kawasan tersebut.
Menurutnya, pendekatan pembangunan secara berfasa membolehkan kemudahan awam dipertingkatkan secara menyeluruh mengikut keutamaan dan keperluan penduduk setempat.
Dayang Noorazah menegaskan beliau akan terus memantau pelaksanaan setiap projek pembangunan di kawasan DUN Lingga bagi memastikan peruntukan kerajaan dimanfaatkan secara berkesan serta memberi impak positif kepada rakyat.
Beliau berkata kerajaan kekal komited memperkasakan pembangunan luar bandar melalui penyediaan kemudahan awam yang berkualiti, sekali gus meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat selaras dengan agenda pembangunan mampan Sarawak.
Oleh Adi Safarman




