KABONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir akan terus memainkan peranannya sebagai wakil rakyat untuk membantu meringankan beban hidup rakyat di konstituensinya.
Selain fokus membawa pembangunan di kawasan, Chee Kadir berkata kebajikan rakyat juga akan turut diberi tumpuan, terutama golongan pesakit kronik dan yang benar-benar memerlukan.
“Kerja kebajikan adalah sebahagian daripada program rutin saya, dan saya akan cuba sebaik mungkin, termasuk memberi bantuan yang diperlukan, misalnya seperti kerusi roda, bekalan makanan dan sebagainya, bergantung pada keperluan tertentu mereka yang memerlukan.
“Ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat,” katanya kepada pemberita semalam.
Dalam pada itu, nasib seorang warga emas yang mengalami penyakit kaki di sini terus dibela dengan penyerahan sumbangan kerusi roda daripada Chee Kadir semalam.
Chee Kadir menyerahkan sumbangan kerusi roda kepada warga emas, Habsah Jeli, 86, dari Kampung Nyabor yang menderita sakit kaki sejak tiga tahun lalu dan memerlukan kerusi roda untuk membantunya bergerak.
Mengenai sumbangan itu, Chee Kadir memberitahu perkara tersebut adalah sebagai keprihatinan seorang pemimpin untuk membantu mereka yang memerlukan.
“Saya juga berharap dengan adanya kerusi roda ini, dapat membantu pesakit ini untuk bergerak selesa, sama ada dalam rumah mahupun di luar rumah,” ujarnya.
Sehubungan itu, Chee Kadir berharap keluarga Habsah dapat memanfaatkan sebaik mungkin bantuan berupa kerusi roda yang disumbangkan itu.
Beliau juga menjelakans bahawa wakil rakyat yang dipilih rakyat tidak hanya turun padang secara bermusim, sebaliknya terus sentiasa mendekati rakyat sepanjang masa.
“Saya akan terus turun padang bertemu dan melihat sendiri keperluan rakyat, selain bertukar-tukar maklumat berhubung perkembangan di kawasan yang saya wakili dan ini merupakan satu hubungan akrab sejak awal saya dipilih menjadi wakil rakyat,” tambahnya lagi yang turut ditemani isterinya, Meryani Yasin.
Oleh ADI SAFARMAN