Lelaki dikhuatiri lemas selepas perahu terbalik di Sungai Batang Oya

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

DALAT: Seorang lelaki berusia 60 tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Batang Oya berhampiran Kampung Tanam Seberang, di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.50 petang sebelum mengerahkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah ke lokasi yang terletak kira-kira 40 kilometer dari balai.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, kejadian dipercayai berlaku sekitar 1.30 petang selepas pengadu melihat sebuah perahu melanggar jeti berhampiran rumah sebelum terbalik.

“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di Kampung Tanam Seberang pada 5.30 petang dan mengadakan taklimat bersama polis serta penduduk kampung sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan lima minit kemudian menggunakan 20 perahu milik penduduk.

“Pencarian tertumpu di lokasi mangsa dilaporkan terjatuh dengan radius antara 50 hingga 100 meter,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, operasi SAR hari pertama ditangguhkan pada 6.00 petang atas faktor keselamatan serta keadaan cahaya yang semakin berkurangan.

Katanya, mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR akan disambung semula esok bermula 7.00 pagi.

Oleh Tarani Lanting