LAWAS: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) terus menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti dan modal insan di Sarawak menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan bersama kerajaan Sarawak.
Pengurus Besar Kanan Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) Sarawak Asset, Shalby Reduan berkata, kerjasama berkenaan telah dilaksanakan sejak sekian lama bagi membantu memperkasa komuniti luar bandar serta menyokong pembangunan usahawan tempatan dalam pelbagai bidang.
“Petronas percaya pembangunan komuniti yang mampan bermula dengan penyediaan kemudahan dan peluang yang mampu mewujudkan nilai jangka panjang.
“Justeru, kami berbesar hati menyumbangkan sebuah porta kabin kepada Koperasi Usahasama Long Sukang Sentral Lawas Berhad seperti yang disaksikan sebentar tadi di rumah pengeluaran produk,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Memacu Kehidupan (Towards Uplifting Lives – TULIP) di Dewan Masyarakat Long Sukang, Lawas, hari ini.
Hadir sama Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Pengurus Besar Malaysia Petroleum Management M Abshar M Nor, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Sains dan Pengkomputeran Universiti Teknologi Petronas Dr Nasir Abdul Jalil, Pegawai Kanan Petronas Sarawak serta kenamaan tempatan.
Shalby berkata, penghasilan produk kopi dan beras Adan berjenama Linawa menerusi program TULIP berpotensi berkembang serta menembusi pasaran yang lebih luas.
Menurut beliau, usaha pembangunan ekonomi komuniti yang disokong Petronas bersama rakan strategik seperti Jabatan Pertanian, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) dan Universiti Teknologi Petronas, termasuk penglibatan masyarakat tempatan menerusi koperasi kampung, mampu membantu meningkatkan pendapatan penduduk.
Selain penghasilan produk Linawa, program TULIP turut memberi penekanan kepada pembangunan modal insan menerusi penyediaan kursus keusahawanan serta latihan kemahiran teknikal dan vokasional.
Beliau berkata, usaha itu diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat tempatan untuk meningkatkan kemahiran serta memperoleh sumber pendapatan yang lebih baik.
Program TULIP atau Towards Uplifting Lives merupakan pendekatan Petronas bagi memperkasa komuniti tempatan di Sarawak menerusi peningkatan ilmu pengetahuan, kemahiran teknikal dan keusahawanan, sekali gus membolehkan mereka terlibat dalam pelbagai sektor ekonomi di kawasan masing-masing. Oleh Adeng Edrus




