JBPM pantau tanah runtuh di Jalan Kanowit-Song

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KANOWIT: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) menjalankan pemantauan susulan kejadian tanah runtuh di tepi jalan utama menuju Rumah (Rh) Annie, Nanga Chelling A, Sungai Poi, Jalan Kanowit-Song, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 10.59 pagi sebelum tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit dikerahkan ke lokasi.

Setibanya di lokasi pada 11.25 pagi, pasukan bomba dimaklumkan berlaku tanah runtuh di bahagian tepi jalan berbukit yang telah disimen.

Jalan berkenaan merupakan laluan utama keluar masuk yang menghubungkan beberapa rumah panjang dengan Pekan Kanowit.

Hasil pemeriksaan mendapati runtuhan berlaku pada bahagian bawah struktur jalan simen, sekali gus menyebabkan kawasan berkenaan berisiko mengalami runtuhan susulan sekiranya hujan lebat berterusan.

Bagaimanapun, kejadian itu tidak melibatkan sebarang mangsa kerana lokasi runtuhan berada jauh dari kawasan penempatan penduduk.

Menurut jurucakap itu, pengadu membuat laporan bagi mendapatkan penilaian keselamatan daripada pihak bomba, selain menggunakan laporan tersebut untuk memohon bantuan pembaikan daripada pihak berkuasa berkaitan.

Selepas memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan pada 12.15 tengah hari.

Oleh Akun Giman