17,286 pengundi berdaftar di DUN Saribas, GPS tingkat persiapan PRN13

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

DEBAK: Pertambahan ketara jumlah pengundi berdaftar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas menjadi petunjuk penting kepada keperluan memperkukuh jentera parti di semua peringkat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN13).

Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, setakat 18 Mac 2026, jumlah pengundi berdaftar di DUN Saribas meningkat kepada 17,286 pengundi berbanding hanya 10,984 pengundi pada PRN Ke-12 tahun 2021, iaitu pertambahan kira-kira 57 peratus.

Beliau berkata, peningkatan tersebut didorong oleh pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik serta kelayakan mengundi bagi rakyat berusia 18 tahun ke atas, sekali gus mengubah landskap politik di kawasan berkenaan.

“Pertambahan pengundi ini memerlukan seluruh jentera parti bekerja lebih gigih untuk memastikan setiap pengundi terus memahami dasar dan hala tuju pembangunan yang dibawa kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program Jalinan Mesra Pemimpin Bersama Rakyat PBB Cawangan N.35 Saribas di Debak, hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan selaku Timbalan Yang Dipertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Betong Dato Richard Rapu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong Dato Mohd Chee Kadir dan ADUN Beting Mato Dato Razaili Gapor.

Dr Mohammad Razi berkata, Program Jalinan Mesra Pemimpin Bersama Rakyat yang berlangsung sepanjang Mac hingga April lalu berjaya menghimpunkan ahli akar umbi di kesemua 24 ranting yang dibahagikan kepada lima zon bagi mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat.

Menurut beliau, sehingga 23 Jun 2026, keahlian PBB di DUN Saribas telah mencecah 9,614 pengundi, dengan usaha menambah keahlian baharu diteruskan melalui pembukaan kaunter pendaftaran pada setiap program komuniti serta sokongan daripada Ibu Pejabat PBB.

Beliau berkata, DUN Saribas kekal sebagai kubu kuat GPS dan PBB apabila tahap sokongan pengundi terus meningkat dalam tiga pilihan raya negeri berturut-turut pada 2011, 2016 dan 2021, sekali gus menyaksikan majoriti kemenangan semakin besar.

Tambahnya, kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama erat antara jawatankuasa cawangan, ranting, jentera parti serta sokongan padu rakyat terhadap dasar pembangunan yang dilaksanakan kerajaan.

Dalam pada itu, beliau berkata penubuhan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) telah mempercepat pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di DUN Saribas, termasuk projek berimpak tinggi yang sedang dilaksanakan dan dirancang bagi meningkatkan taraf hidup penduduk.

Beliau turut menegaskan bahawa Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) menjadi asas penting kepada usaha kerajaan Sarawak membangunkan ekonomi negeri secara mampan, meningkatkan pendapatan rakyat serta memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan.

Katanya, kerajaan GPS akan terus memberi keutamaan kepada penyediaan infrastruktur, kebajikan rakyat dan pembangunan luar bandar bagi memastikan kesejahteraan masyarakat di Saribas terus dipertingkatkan.

Dr Mohammad Razi merakamkan penghargaan kepada Datuk Amar Awang Tengah atas kesudian menghadiri program tersebut serta menyeru seluruh jentera parti supaya mula menggerakkan persiapan secara menyeluruh bagi menghadapi PRN Sarawak Ke-13.

Oleh Adi Safarman