KUALA LUMPUR: Debaran menjelang final Piala Dunia 2026 antara Sepanyol dan Argentina awal pagi Isnin ini mencetuskan perbincangan hangat antara penganalisis bola sepak tempatan mengenai pasukan mana yang bakal menjulang trofi berprestij itu.
Dua bekas penyerang kebangsaan Mohd Safee Mohd Sali dan Azlan Johar meletakkan Sepanyol sebagai pilihan, manakala penganalisis bola sepak Stanley Bernard percaya Argentina mampu mengekalkan gelaran.
Bagi Safee, persembahan meyakinkan Sepanyol ketika menewaskan Perancis di separuh akhir membuktikan skuad bimbingan Luis de la Fuente berada pada landasan terbaik untuk muncul juara, walaupun pada masa sama tidak boleh memandang rendah kehebatan Argentina.
“Sepanyol cukup berdisiplin di bahagian tengah. Lamine Yamal juga menyerlah, mereka ada motivasi dan semangat yang luar biasa untuk lawan Argentina nanti.
“Namun Argentina ada semangat juang tinggi dan mereka mampu mempamerkan kebangkitan pada minit-minit akhir,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Safee berkata penguasaan bahagian tengah akan menjadi penentu perlawanan dengan Rodri dan Pedri dijangka memainkan peranan penting untuk memastikan Sepanyol mengawal rentak permainan, sebelum meramalkan kemenangan 2-1 memihak kepada skuad La Roja.
Sementara itu, Azlan melihat pentas akhir itu sebagai pertembungan dua falsafah permainan, dengan Argentina lebih gemar membina serangan secara berperingkat, manakala Sepanyol tampil agresif sejak awal permainan.
Beliau berkata Argentina diakui melakukan lebih banyak hantaran tetapi lawan mereka di pentas final adalah Sepanyol yang mempunyai benteng pertahanan terbaik dalam Piala Dunia edisi ini apabila hanya bolos satu jaringan.
Katanya, keupayaan Sepanyol melakukan transisi pantas selain beraksi dengan intensiti tinggi mampu memberi kelebihan dalam usaha merampas kejuaraan.
“Mereka akan mengekalkan corak permainan seperti itu. Itu kekuatan Sepanyol, mengapa nak ubah,” katanya yang turut meramalkan juara Eropah itu mampu mengatasi juara bertahan dengan jaringan 2-0.
Azlan bagaimanapun memberikan sudut pandang tambahan dengan menyatakan penjaga gol berpotensi menjadi pengubah perlawanan sekiranya mampu mencetuskan serangan balas pantas.
“Dalam bola sepak moden, penjaga gol adalah kunci perubahan permainan. Bukan sekadar menyelamatkan bola, tetapi apa yang mereka lakukan sebaik sahaja bola ditangkap. Penjaga gol yang bijak memulakan serangan balas pantas boleh mengeksploitasi ruang yang ditinggalkan pasukan lawan,” katanya.
Namun, berbeza bagi Stanley yang menyifatkan aksi final tidak semestinya ditentukan oleh kehebatan taktikal semata-mata, sebaliknya daya tahan dan mentaliti juara yang dimiliki Argentina mampu membawa pasukan Amerika Selatan itu menjulang Piala Dunia untuk kali keempat.
“Saya fikir Sepanyol ialah pasukan yang paling bijak dari segi taktikal dalam Piala Dunia ini, manakala Argentina pula pasukan yang paling kental. Sepanyol berkemungkinan akan menjaringkan gol pertama, tetapi Argentina telah membuktikan sepanjang kejohanan ini bahawa mereka sentiasa mencari jalan untuk bangkit.
“Perbezaan terbesar ialah Argentina tidak lagi memikul tekanan untuk memenangi Piala Dunia demi Messi. Perkara itu telah dicapai pada 2022. Kini mereka bermain dengan lebih bebas dan saya fikir keadaan itu boleh menjadi faktor X terbesar mereka dalam usaha mempertahankan kejuaraan,” katanya.
Beliau turut meramalkan Argentina bakal mempertahankan kejuaraan dengan menewaskan Sepanyol 3-2 dengan aksi berlanjutan sehingga masa tambahan. – Bernama




