
SARIKEI: Program Semarak Kemerdekaan terus menjadi platform penting untuk menyemarakkan semangat patriotisme, memperkukuh perpaduan serta menyemai rasa cinta terhadap Sarawak dalam kalangan rakyat berbilang kaum menjelang sambutan Hari Sarawak.
Wakil Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Anwar Hanafi Ardimansyah berkata, Hari Sarawak yang disambut pada 22 Julai setiap tahun merupakan detik bersejarah bagi memperingati pemerintahan sendiri Sarawak pada 22 Julai 1963, yang menjadi asas kepada pembangunan negeri sehingga mencapai kemajuan seperti yang dinikmati hari ini.
“Bermula 22 Julai 2016, tarikh ini telah diwartakan sebagai cuti umum oleh bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.
“Pengisytiharan ini dibuat bagi memperingati Hari Sarawak yang menandakan berakhirnya penjajahan British dan bermulanya pentadbiran sendiri oleh anak tempatan pada 22 Julai 1963,” katanya ketika berucap pada 722 Konvoi Bermotosikal Program Semarak Kemerdekaan 2026 di pekarangan Pusat Khidmat Parlimen Sarikei, hari ini.
Beliau berkata, pelbagai program telah diadakan sejak sambutan Hari Sarawak diperkenalkan, bermula dari peringkat kampung hingga ke peringkat negeri bagi membolehkan rakyat menghayati sejarah serta menghargai perjalanan pembangunan Sarawak.
“Program Semarak Kemerdekaan ini bukan sekadar sambutan sempena Hari Sarawak, malah merupakan platform untuk memupuk semangat patriotisme, memperkukuh perpaduan rakyat serta menghargai jasa dan pengorbanan pemimpin terdahulu yang telah meletakkan asas kepada pembangunan, kemajuan dan kesejahteraan yang kita nikmati pada hari ini.
“Sesungguhnya, kemerdekaan bukan hanya diukur melalui kebebasan daripada penjajahan, sebaliknya kemerdekaan yang sebenar turut bermaksud keupayaan kita untuk terus hidup dalam suasana aman, bersatu padu, saling menghormati dan berganding bahu membangunkan negeri,” katanya.
Anwar berkata, Program Semarak Kemerdekaan tahun ini dianjurkan di 12 bahagian di seluruh Sarawak, dengan Bahagian Sarikei dipilih sebagai lokasi keenam sebelum program berakhir di Miri.
“Kejayaan Sarawak pada hari ini turut didorong oleh kepimpinan berwawasan menerusi pelbagai inisiatif pembangunan seperti ekonomi digital, Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), ekonomi hidrogen dan penerokaan industri aeroangkasa,” katanya.
Beliau berkata, pada masa sama, kerajaan Sarawak terus memberi penekanan terhadap kebajikan rakyat menerusi pelbagai inisiatif, termasuk Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Bantuan Kewangan Khas (BKK), Kad Emas Kenyalang (KGC), Bantuan Ibu Bersalin (BIB) dan Endowment Fund Sarawak (EFS), di samping melaksanakan pembangunan infrastruktur di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Melihat kepada pelbagai usaha yang dilaksanakan kerajaan Sarawak ketika ini, saya menyeru agar semangat patriotisme dan kerjasama antara rakyat dengan kerajaan Sarawak terus diperkasakan.
“Apabila kerajaan, pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan, sektor swasta dan komuniti berganding bahu, saya yakin kita mampu membina masyarakat yang lebih harmoni, berdaya saing, inklusif dan sejahtera.
“Saya berharap Program Semarak Kemerdekaan akan terus dilaksanakan pada masa hadapan agar lebih ramai rakyat di seluruh Sarawak dapat bersama-sama menghayati nilai kemerdekaan, memperkukuh perpaduan dan menyemarakkan semangat cinta akan negeri,” katanya.
Oleh Earl Anek





