Empat buaya gergasi ditangkap dalam operasi di Sungai Kemena

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
EMPAT ekor buaya gergasi yang berjaya ditangkap dalam operasi khas di Sungai Kemena, Kampung Baru, Bintulu, malam tadi. Operasi selama kira-kira enam jam itu berjaya menangkap buaya berukuran lebih 5.2 meter panjang. Foto Steven Kong Kai Seng

BINTULU: Empat ekor buaya gergasi berjaya ditangkap dalam operasi khas di Sungai Kemena, berhampiran Kampung Baru, di sini, malam tadi.

Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Bintulu, Steven Kong Kai Seng, berkata beliau bergegas ke jeti Kampung Baru sebaik menerima berita mengenai kejayaan operasi itu bagi meninjau sendiri hasil tangkapan serta bertemu dengan Ketua Pasukan Menangkap Buaya Berlesen, Jeffery Siew, dan anggota pasukannya.

Menurutnya, operasi yang bermula 5.00 petang dan berakhir sekitar 11.00 malam itu berjaya menangkap empat ekor buaya, masing-masing berukuran lebih tiga meter panjang, termasuk seekor buaya terbesar dengan anggaran panjang hampir 5.2 meter.

Beliau berkata, kejayaan operasi itu mencerminkan komitmen pasukan menangkap buaya berlesen dalam memastikan keselamatan penduduk dan nelayan yang menjalankan aktiviti di sepanjang Sungai Kemena.

TINJAUAN… Steven Kong Kai Seng meninjau empat ekor buaya yang berjaya ditangkap pasukan menangkap buaya berlesen diketuai Jeffery Siew dalam operasi khas di Sungai Kemena, Kampung Baru, Bintulu, malam tadi.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada ketua pasukan dan semua anggota yang sentiasa komited menjaga keselamatan masyarakat di kawasan sungai. Setiap operasi perlu dilaksanakan dengan mengutamakan aspek keselamatan supaya semua anggota dapat menjalankan tugas dengan lancar dan pulang dengan selamat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan penduduk supaya tidak mengambil mudah aspek keselamatan walaupun operasi berkenaan berjaya dilaksanakan kerana risiko kehadiran buaya di Sungai Kemena masih wujud.

Orang ramai, khususnya penduduk yang tinggal berhampiran sungai dan nelayan, dinasihatkan supaya mengelakkan diri daripada menghampiri tebing sungai tanpa keperluan serta tidak melakukan aktiviti air di kawasan berisiko.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua anggota pasukan menangkap buaya berlesen atas komitmen dan pengorbanan mereka dalam memastikan keselamatan komuniti di Bintulu.

Oleh Faizah Muzidi