Masjid Al-Umran sedia kemudahan ibadah lebih selesa kepada penduduk Kampung Tebaang

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyempurnakan gimik perasmian Masjid Al-Umran, Kampung Tebaang, Daro, hari ini. Foto ihsan Pejabat Premier Sarawak

DARO: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini merasmikan Masjid Al-Umran, Kampung Tebaang yang dibina dengan kos kira-kira RM5 juta bagi menyediakan kemudahan ibadah yang lebih selesa kepada penduduk setempat.

Masjid berkenaan mampu menampung sehingga 1,000 jemaah dan dijangka menjadi pusat pelaksanaan pelbagai aktiviti keagamaan serta kemasyarakatan di kawasan berkenaan.

Sebelum majlis perasmian, Abang Johari bersama dif kenamaan turut menunaikan solat Jumaat di masjid tersebut.

Pembinaan masjid itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan Sarawak memperkukuh kemudahan institusi Islam, khususnya di kawasan luar bandar.

Selain menjadi tempat beribadah, Masjid Al-Umran turut berfungsi sebagai pusat penyatuan komuniti menerusi penganjuran kelas pengajian al-Quran, ceramah agama, program pendidikan dan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Kemudahan baharu itu diharap dapat terus mengimarahkan syiar Islam di samping meningkatkan kesejahteraan masyarakat di Kampung Tebaang dan kawasan sekitarnya.

Nama Al-Umran diambil daripada perkataan Arab ‘Amara’ yang bermaksud memakmurkan atau membangunkan, sekali gus melambangkan peranan masjid bukan sekadar sebagai tempat ibadah, malah sebagai pusat pembangunan dan peradaban Islam melalui penyebaran ilmu, dakwah serta pembinaan akhlak masyarakat.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi; Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad serta Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak yang mewakili Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datu Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan.