Wilfred Yap sambut baik siapnya projek naik taraf Lorong Belakang RTP 2026 di Taman Satria Jaya

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
WILFRED Yap pada penyerahan projek naik taraf.

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap, melahirkan rasa gembira atas kejayaan menyiapkan Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026 yang melibatkan kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan dan laluan pejalan kaki di lorong belakang BDC Lorong D8A, Taman Satria Jaya, Kuching.

“Naik taraf sistem perparitan dan laluan pejalan kaki ini akan menyediakan persekitaran yang lebih selamat, bersih dan selesa kepada penduduk, di samping membantu melancarkan aliran air serta mengurangkan risiko banjir kilat setempat. Projek ini dikenal pasti berdasarkan keperluan dan maklum balas masyarakat setempat, dan saya berbesar hati melihat ia berjaya disiapkan,” katanya.

Yap turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) atas kerjasama serta penyelarasan yang berkesan dalam memastikan projek tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Beliau berkata masih terdapat banyak kawasan perumahan lama di Kota Sentosa yang mempunyai lorong belakang yang telah digunakan oleh penduduk sejak sekian lama dan kini memerlukan kerja-kerja naik taraf.

“Matlamat kami adalah untuk memastikan penduduk di kawasan perumahan matang ini menikmati laluan pejalan kaki yang lebih selamat, sistem perparitan yang lebih baik, tahap kebersihan yang dipertingkatkan serta persekitaran tempat tinggal yang lebih bersih. Kami kekal komited untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat di Kota Sentosa melalui penambahbaikan infrastruktur secara berterusan,” tambahnya.