KUCHING: Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (STATOS) di Singapura memulakan hubungan kerjasama dengan 7-Eleven untuk mempromosikan mi kolok Sarawak.
Pegawai Eksekutif STATOS, Chew Chang Guan dalam sebuah kenyataan berkata promosi ‘We love Sarawak Kolo Mee’ akan dilaksanakan di semua 425 kedai 7-Eleven di pulau itu bermula 14 April sehingga 11 Mei 2021.
“Sesiapa yang membeli 7- Eleven’s Kolo Mee boleh memasukkan maklumat mereka secara dalam talian yang disertakan dengan bukti membeli bagi memenangi sejumlah tiket berganda untuk menikmati lawatan jejak makanan sarawak di Singapura.
“Kempen ini akan dipromosikan di semua kedai 7-Eleven, platform Facebook dan Instagram 7-Eleven dan STATOS serta iklan luar di Galeri STATOS,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan rasa gembira atas peluang yang diberikan untuk mempromosikan makanan Sarawak di Singapura.
“Kami percaya bahawa ini adalah tugas kami di STATOS untuk menyebarkan rasa cinta terhadap hidangan istimewa kami.
“Ia merupakan peluang yag hebat kerana kita dapat menjalin kerjasama dengan 7-Eleven untuk menjana lebih banyak publisiti untuk makanan Sarawak di Singapura,” tambahnya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA