SIBU,7 Oktober: Seekor buaya seberat lebih 400 kilogram berjaya ditangkap di Sungai Rajang berhampiran kawasan Stabau-Salim, pagi tadi.
Menurut Ketua Pasukan Pemburu Buaya Sibu, Jeffery Siew, reptilia sepanjang 4.15 meter itu berjaya ditangkap oleh pasukanya kira-kira 10.00 pagi tadi, selepas usaha menjejakinya dilakukan sejak September lepas.
“Kami menjejaki buaya ini sejak September lalu dan pagi ini akhirnya berjaya menangkapnya. Bagaimanapun, operasi masih belum berakhir kerana kami masih menjejaki seekor lagi buaya yang dipercayai lebih besar,” ujarnya kepada pemberita hari ini.
Siew memberitahu, tangkapan hari ini dilakukan hanya sehari selepas pasukannya pulang daripada operasi selama beberapa hari di Sungai Batang Igan berhampiran Ulu Kampung Kebuaw, Igan.
“Semalam kami baru pulang dari Igan dan memang sangat letih. Nasib baik operasi hari ini di Sibu. Kalau perlu kembali ke Igan, saya sendiri tidak tahu sama ada kami masih mempunyai tenaga,” katanya.
Katanya, pasukannya sebelum ini turut menangkap seekor buaya sepanjang 4.76 meter di kawasan Stabau-Salim pada 14 September lepas.
Sementara itu, tiga buaya berukuran antara 2.44 dan 4.75 meter berjaya ditangkap pasukannya di Sungai Batang Igan dalam operasi bermula 3 Oktober lalu, termasuk seekor buaya dianggarkan seberat 500 kilogram.
Pasukan itu turut menemui sebuah sarang mengandungi kira-kira 40 biji telur buaya di kawasan berkenaan.
Setakat ini, Siew yang memperoleh lesen memburu reptilia itu dua tahun lepas, telah berjaya menangkap lebih 100 ekor buaya.
Oleh Akun Giman




