
KUALA LUMPUR: Musim durian tahun ini bukan sekadar menggembirakan penggemar raja buah, malah menjadi bukti bagaimana kesejahteraan dapat dinikmati dan dikongsi bersama rakyat pelbagai lapisan masyarakat.
Selari dengan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026, Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati, harga durian yang turun mendadak berikutan lambakan bekalan, buah yang sebelum ini dianggap “mewah” kini mampu dinikmati lebih ramai rakyat.
Lebih bermakna, fenomena itu bukan sekadar membolehkan orang ramai menikmati Musang King atau Duri Hitam pada harga lebih rendah, malah menghidupkan kembali budaya berkumpul, berkongsi rezeki dan mengeratkan hubungan sesama keluarga, jiran serta rakan-rakan.
Fenomena itu menjadi tular di media sosial apabila pengguna berkongsi lokasi gerai durian murah, gambar keluarga menikmati durian bersama dan kisah majikan yang membelanja pekerja pelbagai kaum sebagai tanda penghargaan tanpa mengira latar belakang bangsa, agama mahupun fahaman politik.
Bagi pemilik Family Musang King, Amirul Irfan Zulkipli musim durian kali ini bukan sahaja membawa kegembiraan kepada pelanggan, malah turut memberi limpahan rezeki kepada peniaga.

“Saya menerima tempahan yang sangat menggalakkan. Banyak majikan membeli berbakul durian untuk menjamu pekerja mereka yang terdiri daripada pelbagai kaum. Walaupun harga jualan lebih rendah, jualan meningkat dan stok hampir habis setiap hari,” katanya.
Beliau berkata situasi itu membuktikan harga yang lebih mampu milik bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna, malah turut menggerakkan keseluruhan rantaian industri daripada pekebun, pemborong dan peniaga hingga kepada pengguna.
Musang King yang sebelum ini mencecah hingga RM80 sekilogram kini dijual sekitar RM25 hingga RM30 sekilogram, manakala beberapa varieti premium lain turut menyaksikan penurunan harga yang ketara. Durian kampung pula ada yang dijual serendah RM1 sebiji, menjadikan musim kali ini antara yang paling dinanti-nantikan peminat raja buah itu.
Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Ima Liana Esa musim durian murah tahun ini memperlihatkan makna kesejahteraan yang lebih luas daripada sekadar kemampuan berbelanja.
“Kesejahteraan bukan hanya diukur melalui pendapatan atau angka ekonomi, tetapi apabila lebih ramai rakyat dapat menikmati sesuatu yang sebelum ini sukar dicapai dan berkongsi kegembiraan itu bersama orang lain,” katanya.


PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang untuk membeli buah durian premium dengan harga yang murah di Rizky Durian baru-baru ini. Foto BERNAMA
Beliau berkata durian mempunyai keistimewaan tersendiri kerana mampu menyatukan masyarakat tanpa mengira kaum, agama, generasi mahupun status ekonomi.
“Apabila orang ramai berkumpul di gerai atau dusun, mereka tidak melihat latar belakang seseorang. Mereka berbual, bergelak ketawa dan menikmati durian bersama. Interaksi seperti inilah yang membina kepercayaan, toleransi dan semangat kebersamaan dalam masyarakat,” katanya.
Beliau berkata budaya berkongsi makanan sentiasa menjadi medium paling mudah untuk mengeratkan hubungan, malah amalan membelanja atau menghadiahkan durian kepada keluarga, jiran serta rakan-rakan mencerminkan nilai kemurahan hati yang menjadi sebahagian daripada identiti rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, kerajaan turut mengambil beberapa langkah bagi membantu pekebun menangani lambakan bekalan musim ini sekali gus memastikan hasil mereka dapat dipasarkan dengan lebih berkesan serta meningkatkan kesejahteraan hidup.
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), misalnya menyasarkan pembelian langsung sebanyak 1,000 tan metrik durian bernilai RM7 juta menerusi 42 pusat operasinya di seluruh negara, manakala beberapa kerajaan negeri menganjurkan festival durian bagi membantu memasarkan hasil pekebun kecil.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pula memberi jaminan akan membawa isu kejatuhan harga durian ke meja rundingan bersama rakan sejawatnya dari China, Li Qiang bulan depan sebagai usaha memperluas pasaran eksport durian Malaysia.- Bernama





