73 pelajar cemerlang STPM terima insentif atas kecemerlangan akademik

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
RAKAM KENANGAN… Datuk Amar Dr Sim Kui Hian merakam kenangan bersama penerima insentif wang tunai dan sijil.

KUCHING: Seramai 73 pelajar dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawa yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) baru-baru ini menerima insentif wang tunai dan sijil daripada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Pelajar yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) antara 3.0 hingga 4.0 itu menerima insentif wang tunai antara RM400 hingga RM1,000.

Daripada jumlah tersebut, 31 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kawa, manakala selebihnya ialah pelajar dari kawasan DUN Batu Kawa yang belajar di sekolah menengah lain.

Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah sekian lama mengiktiraf kecemerlangan akademik dengan menyampaikan insentif wang tunai dan sijil kepada pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan STPM, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa, penyampaian insentif dan sijil tersebut bertujuan memberi pengiktirafan serta galakan kepada pelajar yang mencapai keputusan cemerlang.

DATUK Amar Dr Sim Kui Hian berkongsi kegembiraan dengan seorang pelajar.

“Setiap kali peperiksaan awam diadakan, ramai pelajar kita memperoleh keputusan yang cemerlang. Ini membuktikan tahap pencapaian pelajar yang tinggi, keprihatinan ibu bapa terhadap pendidikan anak-anak serta dedikasi para guru,” katanya.

Beliau berkata Sarawak telah melahirkan ramai bakat cemerlang dalam pelbagai bidang, termasuk antara pakar penyelidikan kanser terkemuka negara yang berasal dari negeri ini.

Menurutnya, Sarawak memerlukan lebih ramai modal insan berkualiti bagi memenuhi keperluan pembangunan pesat negeri.

Beliau turut berkata kerajaan Sarawak sedang giat membangunkan bakat pelajar dengan menyediakan pelbagai insentif dan kebajikan, termasuk pendidikan tinggi percuma di universiti milik kerajaan negeri.

Dr Sim turut menggalakkan para pelajar supaya meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi, berusaha mencapai kecemerlangan yang lebih gemilang serta bersedia menyumbang kepada pembangunan Sarawak.

Pada majlis itu, pegawai Yayasan Sarawak turut memberi taklimat kepada pelajar dan ibu bapa mengenai pelbagai bantuan melanjutkan pelajaran yang disediakan, termasuk pinjaman pendidikan dan biasiswa, bagi meningkatkan pemahaman mereka terhadap bantuan pendidikan yang ditawarkan oleh kerajaan Sarawak.

Oleh Connie Chieng