
BUENOS AIRES, Argentina: Menjelang aksi final Piala Dunia menentang Sepanyol pada pada awal pagi Isnin ini, penyokong Argentina terus berpegang kepada pelbagai ritual yang dipercayai mampu membawa tuah kepada pasukan kebangsaan mereka.
Selepas skuad kendalian Lionel Messi menewaskan musuh tradisi, England 2-1 pada aksi separuh akhir di Atlanta, mereka kini hanya selangkah lagi untuk mempertahankan kejuaraan dunia.
Namun, ketika debaran semakin memuncak, ramai penyokong memilih untuk bergantung kepada amalan yang dianggap mampu membawa tuah sebagai cara meredakan tekanan.
Di seluruh Argentina, kepercayaan terhadap cabala iaitu ritual yang dipercayai membawa tuah, menjadi sebahagian daripada budaya bola sepak negara itu.
Bagi Andres Gonzalez, 48, setiap individu perlu berada di tempat yang sama seperti ketika perlawanan sebelumnya.
“Jika seseorang pergi ke tandas dan ketika itu Argentina menjaringkan gol, dia tidak dibenarkan keluar sehingga perlawanan tamat,” kata akauntan yang menggelarkan dirinya sebagai peminat tegar bola sepak.
Amalan itu bukan sahaja diamalkan oleh penyokong biasa, malah Presiden Argentina, Javier Milei, turut mengakui mempunyai ritual tersendiri.
Beliau berkata, dalam apa jua keadaan sekali pun, beliau tidak akan mengubah kebiasaan menonton perlawanan Piala Dunia dari kediaman rasmi presiden.
Bagi Estela Vargas pula, setiap ahli keluarganya perlu memakai pakaian yang sama, duduk di kerusi yang sama, manakala anjing peliharaan mereka mesti berada di luar rumah sepanjang perlawanan.
“Ketika menentang England, kami memakaikan jersi Argentina kepada anjing kami kerana ia baka English Bulldog.
“Untuk perlawanan menentang Sepanyol pula, hujan atau panas, ia tetap perlu berada di luar rumah,” katanya.
Di rumah Graciela Campos pula, ibu mentuanya diwajibkan meninggalkan ruang tamu dan mengait selendang berwarna biru putih di dapur sepanjang perlawanan berlangsung.
Ahli sosiologi, Diego Murzi berkata, ritual sedemikian mencerminkan bagaimana rakyat Argentina melihat diri mereka bukan sekadar penyokong, sebaliknya seolah-olah turut memainkan peranan dalam kejayaan pasukan.
“Dalam bola sepak, rakyat Argentina tidak berasa seperti penonton, tetapi sebagai sebahagian daripada pasukan.
“Ritual ini memberi mereka keyakinan bahawa mereka membantu membawa tuah dan menolak nasib malang,” katanya.
Beliau turut mengaitkan budaya itu dengan bekas jurulatih Argentina, Carlos Bilardo, yang terkenal dengan sifat terlalu percaya kepada unsur tuah walaupun berlatarbelakangkan bidang perubatan.
Menurut Murzi, Bilardo pernah memastikan satu ritual diulang sebelum setiap perlawanan selepas Argentina memenangi aksi pertama Piala Dunia apabila seorang pemain menjawab telefon yang berdering di bilik persalinan tanpa sesiapa di hujung talian.
Sementara itu, pesara, Lidia Otero, 74, yakin semua ritual yang diamalkannya sentiasa membuahkan hasil.
Beliau mengakui pada babak pertama ketika menentang England, anjing peliharaannya menghadap televisyen dan Argentina gagal menjaringkan gol.
“Pada separuh masa kedua saya memusingkan badannya membelakangi televisyen, dan selepas itu keputusan perlawanan berubah memihak kepada Argentina,” katanya.
Legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona, yang meninggal dunia pada 2020, terus dihormati penyokong dengan kediaman lamanya di Villa Devoto dijadikan lokasi penghormatan.
Selain itu, ada juga penyokong yang masih meneruskan tradisi lama dengan memasukkan gambar pemain lawan ke dalam peti sejuk sebagai simbol “membekukan” keupayaan mereka.
“Itu yang diajar datuk saya,” kata Rodrigo Serna, 11, peminat setia Lionel Messi. — AFP


