Seragam tentera, replika senjata dalam cosplay boleh undang siasatan – Polis

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
KOSTUM mewakili watak anime, permainan video dan filem menjadi pemandangan biasa dalam acara peragaan busana watak animasi atau cosplay yang dianjurkan di sekitar ibu kota. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Kostum mewakili watak anime, permainan video dan filem menjadi pemandangan biasa dalam acara peragaan busana watak animasi atau cosplay yang dianjurkan di sekitar ibu kota.

Watak seperti daripada siri NarutoSailor MoonFrieren: Beyond Journey’s EndGenshin Impact serta adiwira daripada komik DC dan Marvel antara pilihan popular dalam kalangan peserta.

Namun, segelintir peserta memilih mengenakan seragam tentera Nazi dan Imperial Jepun era Perang Dunia Kedua bersama replika senjata sebagai pelengkap kostum.

Walaupun dianggap sebagai sebahagian daripada ekspresi minat dan hobi, pihak polis memaklumkan pemakaian kostum dan penggunaan aksesori tertentu sebenarnya tertakluk kepada peruntukan undang-undang.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Noor Hisam Nordin berkata pemakaian seragam menyerupai pasukan keselamatan, termasuk tentera asing dalam acara cosplay bukanlah satu kesalahan secara automatik. 

Beliau bagaimanapun berkata tindakan itu boleh menjadi kesalahan sekiranya dilakukan dengan niat atau dalam keadaan yang mengelirukan orang ramai bahawa individu terbabit adalah anggota tentera sebenar, sekali gus akan disiasat mengikut Seksyen 140 Kanun Keseksaan.

“Sekiranya kostum turut disertai prop senjata tiruan seperti senapang, pistol replika atau senjata jenis airsoft tanpa lesen sah, individu berkenaan boleh disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 (Akta 206).

“Selain itu, peserta juga perlu memberi perhatian terhadap larangan membawa senjata api tiruan yang menyerupai senjata sebenar, senjata tajam berjadual termasuk keris, parang, tombak, kapak, buku lima dan pedang samurai walaupun dalam bentuk replika,” katanya kepada Bernama.

Noor Hisam berkata dalam tempoh enam bulan tahun ini, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 140 Kanun Keseksaan susulan kejadian di Gombak, Selangor apabila video tular memaparkan seorang lelaki memakai pakaian menyerupai pasukan keselamatan dan memiliki senjata disyaki tiruan, namun tiada tangkapan direkodkan.

Beliau berkata bagi Seksyen 36 Akta 206, sebanyak 63 kertas siasatan dibuka dengan 95 tangkapan dibuat dalam tempoh sama.

“Ketidaktahuan terhadap undang-undang tidak boleh dijadikan alasan untuk melepaskan diri daripada sebarang tindakan undang-undang,” katanya, sambil menasihatkan peserta dan penganjur acara cosplay serta anime supaya sentiasa berhati-hati, selain memastikan pemakaian kostum dan penggunaan prop tidak melanggar undang-undang.

Justeru, Noor Hisam menggalakkan penganjur menyediakan garis panduan jelas kepada peserta mengenai kostum dan aksesori yang tidak dibenarkan serta memaparkannya di kawasan pendaftaran.

Beliau berkata langkah itu bukan bertujuan menyekat kreativiti komuniti cosplay, sebaliknya bagi memastikan aktiviti berkenaan dapat diteruskan dalam suasana yang selamat, teratur dan mematuhi undang-undang.

Sementara itu, penganjur yang hanya mahu dikenali sebagai Lman berkata penganjuran memberi tumpuan kepada anime, manga dan permainan video, bukannya pakaian tentera.

“Acara ini lebih kepada karakter anime yang diminati peserta tetapi apabila ada peserta berpakaian seragam tentera era perang, orang ramai mungkin mendapat gambaran yang salah mengenai acara cosplay,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menitikberatkan aspek pematuhan kepada undang-undang dengan menetapkan garis panduan melarang peserta membawa objek tajam atau replika senjata yang boleh mengundang risiko keselamatan.

“Kami akan tanya peserta mengenai aksesori yang dibawa dan memeriksanya terlebih dahulu. Jika tidak mematuhi syarat, mereka boleh diminta meninggalkan lokasi atau menukar pakaian,” katanya.

Seorang pelajar sebuah universiti swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Daniel, 19, berkata kostum tentera yang diperagakannya bukan bertujuan menyamar sebagai anggota tentera atau mempromosikan fahaman tertentu.

Sebaliknya, beliau berkata pemakaian itu adalah sebagai sebahagian daripada minat terhadap sejarah dan aktiviti lakon semula sejarah.

“Saya minat sejarah dan seragam ini kerana reka bentuknya serta melihat pakaian ini sebagai sebahagian daripada sejarah… saya pakai sebab minat, bukan untuk menyokong ideologi dan hanya pakai dalam kawasan acara,” katanya yang membeli pakaian itu secara dalam talian.

Berkongsi minat sama, seorang pekerja swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Muiz, 27, berkata beliau bersama sekumpulan individu aktif dalam komuniti lakon semula sejarah sejak dua tahun lepas dan menghadiri acara cosplay sebagai platform berinteraksi dengan rakan-rakan yang mempunyai hobi serupa.

Seorang lagi peserta yang hanya mahu dikenali sebagai San, 27, berkata replika senjata yang dibawanya diperbuat daripada kayu dan plastik, selain mengakui setiap acara cosplay mempunyai garis panduan yang perlu dipatuhi. – Bernama