
SIMANGGANG: Seorang pemandu kenderaan jenis Honda dikenakan saman selepas didapati memandu secara melawan arus di Kilometer 46 (KM46) Lebuh Raya Pan Borneo Sri Aman-Kuching menghala ke pekan Lachau, susulan rakaman kejadian itu yang tular di media sosial, hari ini.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintendan Dennis Bunyam berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman mengesan hantaran berhubung kejadian itu sebelum Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) menjalankan siasatan lanjut.
Beliau berkata hasil siasatan mendapati pemandu kenderaan berkenaan telah berjaya dikenal pasti dan tindakan penguatkuasaan segera diambil terhadap individu terbabit.
“Satu saman telah dikeluarkan terhadap pemandu berkenaan di bawah Kaedah 8 Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959 (LN166/59) kerana memandu secara melawan arus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Superintendan Dennis berkata pihak polis turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang tampil menyalurkan maklumat serta bukti berkaitan kejadian berkenaan.
Menurut beliau, kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu pihak polis mempertingkatkan keselamatan jalan raya serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang lalu lintas.
“Maklumat yang disalurkan orang ramai membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan pantas terhadap kesalahan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain,” ujarnya.
Sehubungan itu, Superintendan Dennis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan mengamalkan pemanduan berhemah.
Katanya, sikap bertanggungjawab ketika memandu bukan sahaja dapat mengelakkan kemalangan malah memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.
“Orang ramai juga digesa terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesan sebarang pelanggaran undang-undang atau tindakan berbahaya di jalan raya bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil,” tegas beliau.
Oleh Adi Safarman




