
PERKUKUH HUBUNGAN… Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar tiba di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan bagi menghadap Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, hari ini.
BANDAR SERI BEGAWAN: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi hari ini menghadap Sultan Hassanal Bolkiah serta Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Saleha di Istana Nurul Iman, di sini.
Turut hadir dalam sesi menghadap itu ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan selaku Menteri Pengiring bersama isteri, Dato Dayang Morliah Awang Daud.
Sesi pertemuan kira-kira 30 minit itu mencerminkan hubungan akrab serta persefahaman erat yang sekian lama terjalin antara Sarawak dengan negara Brunei Darussalam.

SULTAN Hassanal Bolkiah mengiringi Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi meneliti cenderamata di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan, hari ini. Turut mengiringi Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Pengiring, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai pelbagai perkara yang berkepentingan bersama, khususnya usaha memperkukuh hubungan serta kerjasama dalam pelbagai bidang yang memberi manfaat kepada Sarawak dan Brunei.
Pada akhir sesi menghadap, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan serta merakamkan ucapan terima kasih kepada Sultan Hassanal dan Seri Baginda Raja Isteri atas limpah perkenan menerima kunjungan menghadap tersebut.
Tun Wan Junaidi turut menzahirkan harapan agar hubungan persahabatan yang telah lama terjalin antara Sarawak dan Brunei akan terus diperkukuh melalui kerjasama erat demi menjamin kemakmuran, kestabilan dan kesejahteraan kedua-dua pihak.


