Jambatan Batang Sadong bakal lonjak pembangunan luar bandar Bukit Semuja

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
JOHN Ilus menyempurnakan gimik pecah tanah Projek Jambatan Batang Sadong di Kampung Sorak Sumpung, Serian. Foto UKAS

SERIAN: Pembinaan Jambatan Batang Sadong bernilai RM28.8 juta yang menghubungkan Kampung Sorak Melayu dan Kampung Sorak Sumpung dijangka menjadi pemangkin pembangunan luar bandar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Semuja menerusi peningkatan jaringan perhubungan, akses yang lebih baik serta pengukuhan aktiviti sosioekonomi penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus berkata, projek di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) itu merupakan impian yang telah lama dinantikan penduduk, khususnya bagi mengatasi masalah perhubungan yang sering berlaku ketika musim banjir.

Menurut beliau, idea pembinaan jambatan berkenaan tercetus ketika beliau berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Tadbir di Pejabat Daerah Serian selepas menyaksikan sendiri kesukaran penduduk berulang-alik ke bandar Serian serta cabaran yang dihadapi pasukan pengurusan bencana dalam menyalurkan bantuan ketika banjir.

“Hari ini, impian yang sekian lama diimpikan akhirnya menjadi kenyataan. Saya bersyukur kerana diberi peluang berkhidmat sebagai wakil rakyat dan bersama-sama merealisasikan projek yang amat dinantikan penduduk di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis pecah tanah Projek Jambatan Batang Sadong di Kampung Sorak Sumpung, di sini, hari ini.

JOHN Ilus (tengah) bersama tetamu kehormat dan penduduk bergambar selepas majlis pecah tanah Projek Jambatan Batang Sadong di Kampung Sorak Sumpung, Serian, hari ini. Foto UKAS

John turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas komitmen berterusan kerajaan Sarawak menerusi GKCDA dalam melaksanakan projek pembangunan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

Projek berkenaan dijadual siap dalam tempoh 24 bulan bermula 5 Mei 2026 hingga 5 Mei 2028. Ia melibatkan pembinaan jambatan sepanjang 100 meter merentasi Batang Sadong, pembinaan jalan berturap mengikut piawaian Jalan R3 dua lorong dua hala serta pembinaan jajaran jalan baharu sepanjang kira-kira 1.7 kilometer.

Apabila siap kelak, projek itu dijangka memberi manfaat kepada penduduk Kampung Sorak Melayu, Kampung Sorak Sumpung, Kampung Sorak Mawang, Koran Bari, Koran Mawang dan Koran Plaman dengan memendekkan masa perjalanan ke Bandar Serian, memudahkan urusan harian serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

Dalam perkembangan sama, John berkata sebanyak 26 projek pembangunan bernilai RM98.57 juta telah dilaksanakan di kawasan DUN Bukit Semuja menerusi GKCDA, sekali gus membuktikan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam mempercepat pembangunan luar bandar dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.