

DATUK Mong Dagang hadir semasa Pertandingan ReCiP3K SK Tanjung Bijat semalam. Foto ADUN Bukit Begunan
LINGGA: Program Reka Cipta dan Inovasi Pencetus Kreativiti Komuniti Kreatif (ReCiP3K) yang dianjurkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Bijat diyakini mampu memberi manfaat besar kepada murid menerusi pendedahan terhadap budaya inovasi, kreativiti serta pembelajaran berasaskan pengalaman.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata kejayaan sesebuah sekolah bukan sahaja bergantung kepada pencapaian akademik, malah turut dipengaruhi kreativiti warga pendidik dalam melaksanakan perubahan yang mampu meningkatkan potensi murid.
Beliau berkata sokongan ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam membentuk keyakinan dan semangat anak-anak untuk terus mencungkil bakat serta mengembangkan kemahiran yang dimiliki.
Menurutnya, pertandingan ReCiP3K yang dianjurkan merupakan platform terbaik untuk mengetengahkan hasil kreativiti dan inovasi yang terhasil daripada kerjasama erat antara guru, ibu bapa dan murid.
“Setiap karya yang dipamerkan hari ini adalah bukti komitmen semua pihak dalam mendidik generasi masa hadapan agar lebih kreatif, berdaya saing dan berfikiran inovatif,” katanya ketika merasmikan Pertandingan ReCiP3K SK Tanjung Bijat di sini, semalam.
Mong berkata program berkenaan turut menjadi medium mengeratkan hubungan silaturahim antara ibu bapa, komuniti setempat dan sekolah-sekolah dari sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan.
Beliau berkata acara seumpama itu juga menyediakan ruang untuk peserta menjana idea baharu serta berkongsi pengetahuan mengenai bahan ciptaan dan kaedah penggunaannya dalam kehidupan seharian.
Program itu melibatkan penyertaan ibu bapa dan komuniti sekitar sekolah dalam kawasan DUN Bukit Begunan, sekali gus memperkukuh kerjasama antara institusi pendidikan dengan masyarakat.
Dalam majlis sama, Mong turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada seorang murid Tahun Dua, Ahira Rinton Febri, bagi membantu membeli cermin mata baharu.
Penganjuran ReCiP3K dilihat selari dengan usaha memperkasa pendidikan berteraskan inovasi dan penglibatan komuniti, selain menyokong pembangunan modal insan yang kreatif, berkemahiran serta mampu menghadapi cabaran masa depan.
Oleh Adi Safarman




