
BETONG: Kehadiran seekor ular berbisa di kawasan beranda belakang sebuah rumah di Kuarters JKR Betong mencetuskan detik cemas sebelum reptilia itu berjaya ditangkap oleh anggota penyelamat awal pagi tadi.
Menurut kenyataan media Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Betong, pihaknya telah menerima satu panggilan kecemasan daripada orang awam pada 6.48 pagi berhubung kejadian tersebut.
Sejurus menerima maklumat berkenaan, sepasukan anggota yang terdiri daripada tiga orang penyelamat bersama aset dan peralatan khas menangkap ular segera digerakkan ke lokasi kejadian.
Setibanya di lokasi, anggota operasi terus menjalankan pemeriksaan rapi di sekitar kawasan yang dilaporkan. Pihak APM berjaya mengesan reptilia tersebut yang didapati masih berada di kawasan beranda belakang rumah pengadu.

Menggunakan teknik operasi yang selamat serta peralatan khas, anggota APM Betong mengambil masa beberapa minit sebelum berjaya menangkap seekor ular yang dikenal pasti sebagai spesies ‘Black Yellow Viper’ atau ular kapak hitam kuning.
Ular sepanjang kira-kira satu meter itu berjaya diamankan sepenuhnya tanpa melibatkan sebarang kejadian yang tidak diingini atau kecederaan kepada penghuni rumah mahupun anggota bertugas.
Susulan kejadian tersebut, pihak APM Daerah Betong mengeluarkan nasihat kepada orang awam agar sentiasa berwaspada sekiranya menemui ular atau mana-mana haiwan liar yang boleh mengancam keselamatan.
“Orang ramai ditegaskan supaya tidak cuba menangkap atau menghalau sendiri haiwan berkenaan kerana tindakan tersebut berisiko tinggi mengundang kecederaan.
“Sebaliknya, orang awam diminta segera menghubungi talian kecemasan APM Daerah Betong di talian 083-472861 atau talian kecemasan umum 999 untuk mendapatkan bantuan kepakaran dengan kadar segera,” menurut kenyataan itu.
Oleh Adi Safarman



