
KUALA LUMPUR: Kerajaan terus memperkukuh kawalan keselamatan di kawasan sempadan yang menempatkan aset tenaga hijau strategik negara, termasuk Empangan Hidroelektrik Batang Ai di Lubok Antu, Sarawak, bagi memastikan keselamatan bekalan tenaga serta melindungi infrastruktur kritikal daripada sebarang ancaman.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata usaha itu dilaksanakan melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama agensi keselamatan, penguatkuasaan serta pemilik infrastruktur bagi memastikan tahap keselamatan aset dan infrastruktur kritikal negara sentiasa berada pada tahap tertinggi.
Perkara itu dinyatakan dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan yang tidak sempat dijawab di Dewan Rakyat kepada Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi, mengenai usaha kerajaan mengukuhkan kawalan sempadan di kawasan berpotensi tenaga hijau termasuk Empangan Hidroelektrik Batang Ai.
Menurut KDN, empangan hidroelektrik di Sarawak mempunyai nilai strategik yang tinggi kerana menyumbang kepada keselamatan tenaga, kestabilan ekonomi dan kesejahteraan negara
Sehubungan itu, kerajaan memberi penekanan kepada aspek pencegahan, pemantauan, perlindungan dan kesiapsiagaan bagi memastikan operasi aset strategik negara sentiasa terpelihara daripada ancaman keselamatan.
Dari sudut kawalan sempadan, PDRM melalui Pasukan Gerakan Am (PGA) terus memperkukuh rondaan, pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan sempadan bagi membanteras aktiviti rentas sempadan yang menyalahi undang-undang, pencerobohan serta ancaman lain yang boleh menjejaskan operasi aset kritikal negara.
KDN turut memaklumkan aset strategik yang dikenal pasti diberi perlindungan menerusi kerangka perundangan sedia ada, termasuk pewartaan sebagai Kawasan Larangan dan Tempat Larangan (KLTL) di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 [Akta 298], selain diklasifikasikan sebagai sasaran penting berdasarkan tahap risiko keselamatan.
Selain kawalan luaran oleh agensi keselamatan, kawalan keselamatan dalaman di kawasan empangan dilaksanakan oleh pemilik dan pengendali infrastruktur mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan serta tertakluk kepada penyeliaan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO).
Pendekatan bersepadu itu bertujuan melindungi infrastruktur kritikal negara daripada ancaman fizikal, siber, sabotaj dan bentuk ancaman keselamatan baharu yang semakin kompleks.
KDN menjelaskan langkah keselamatan tersebut bukan hanya tertumpu kepada Empangan Hidroelektrik Batang Ai, malah meliputi empangan strategik lain seperti Empangan Hidroelektrik Bakun dan Murum serta infrastruktur tenaga hijau lain yang dikenal pasti sebagai aset kritikal negara.
Pada masa sama, kementerian sedang memuktamadkan cadangan penggubalan Akta Infrastruktur Kritikal Negara bagi menggantikan Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959
Menurut KDN, akta baharu itu dijangka memperkukuh lagi kerangka perlindungan infrastruktur kritikal negara supaya kekal relevan dalam menghadapi landskap ancaman keselamatan yang semakin dinamik dan mencabar.
Oleh Adi Safarman




