
KUCHING: Jawatankuasa Pilihan Khas Ombudsman mengadakan Mesyuarat Pertama Siri 1/2026 bagi membincangkan peranan, hala tuju serta kerangka operasi jawatankuasa itu dalam menyokong pelaksanaan institusi Ombudsman di Sarawak.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Ombudsman, Dayang Noorazah Awang Sohor, dan turut diserikan dengan ucapan khas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar.
Pada sesi pertama mesyuarat, Ketua Ombudsman Sarawak menyampaikan taklimat mengenai institusi Ombudsman yang merangkumi peranan, fungsi serta bidang kuasa institusi itu dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam di negeri ini.
Taklimat tersebut diikuti dengan sesi soal jawab yang memberi peluang kepada ahli jawatankuasa mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan dan skop tanggungjawab Ombudsman Sarawak.
Sementara itu, sesi kedua memberi tumpuan kepada penelitian draf Terma Rujukan (TOR) Jawatankuasa Pilihan Khas Ombudsman.
Perbincangan meliputi mandat jawatankuasa, prosedur pelaporan, aspek operasi serta beberapa perkara penting lain yang akan menjadi panduan kepada pelaksanaan fungsi jawatankuasa pada masa hadapan.

Mesyuarat itu turut menjadi platform bagi memperkemaskan struktur tadbir urus jawatankuasa supaya dapat berfungsi secara lebih tersusun dan berkesan dalam melaksanakan tanggungjawabnya.
Penubuhan dan pengukuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Ombudsman dilihat sebagai langkah penting dalam memperkasakan mekanisme semak dan imbang terhadap institusi Ombudsman Sarawak.
Inisiatif itu juga dijangka menyumbang kepada peningkatan tahap akauntabiliti, ketelusan dan tadbir urus yang baik dalam penyampaian perkhidmatan awam di seluruh Sarawak.
Selain memperkukuh fungsi pemantauan institusi, jawatankuasa berkenaan diharap dapat memastikan setiap proses dan tindakan Ombudsman dilaksanakan selaras dengan prinsip integriti serta kepentingan rakyat.
Mesyuarat pertama itu menandakan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh institusi Ombudsman sebagai sebuah badan yang menyokong sistem pentadbiran awam yang lebih cekap, telus dan berakauntabiliti.
Dayang Noorazah berkata beliau akan terus menjunjung amanah yang diberikan dengan penuh rasa tanggungjawab, integriti dan komitmen demi memperkukuh tadbir urus yang telus dan berkesan, di samping mengutamakan kepentingan serta kesejahteraan rakyat Sarawak.
Turut hadir Ahli-ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Ombudsman, Ketua Ombudsman Sarawak, Dato Sri Abdul Ghafur Shariff, Ahli-ahli Ombudsman Sarawak serta Setiausaha Jawatankuasa Pilihan Khas Ombudsman, Nur Azhar Bujang.
Oleh Adi Safarman




