
TPAD mencadangkan pengasingan subsidi bahan api peribadi dan operasi e-hailing menerusi pengenalan kad armada e-hailing bagi memastikan bantuan lebih bersasar serta telus. Foto TPAD
PUTRAJAYA: Persatuan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (TPAD) mencadangkan agar kerajaan mengasingkan secara jelas subsidi penggunaan bahan api peribadi dengan subsidi bagi operasi e-hailing bagi memastikan pelaksanaan yang lebih adil dan bersasar.
Presidennya M.Nathan berkata 200 liter pertama penggunaan bahan api hendaklah dikekalkan sebagai subsidi penggunaan peribadi untuk rakyat Malaysia dan tidak diambil kira sebagai sebahagian daripada subsidi operasi e-hailing.
“Kalau kita lihat, memang ada pemandu sepenuh masa (800 liter untuk e-hailing) tidak mencukupi, tetapi majoritinya masih mencukupi. Namun, itu aspek kedua apa yang penting sekarang ialah kuota itu perlu diasingkan segera. Apabila kerajaan menetapkan kuota 800 liter untuk pemandu e-hailing, tidak sepatutnya dicampurkan dengan kuota 200 liter.
“Operasi komersial perlu mempunyai mekanisme subsidi yang berasingan kerana penggunaan bahan api tersebut digunakan bagi menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum penambahbaikan mekanisme BUDI MADANI 95 (BUDI95) dan permohonan moratorium insurans e-hailing kepada Kementerian Kewangan (MOF) di sini hari ini.
Ketika ini, di bawah BUDI95 had siling bagi e-hailing dan pekerja gig dikekalkan hingga 800 liter.
Selain itu, Nathan turut mencadangkan pengenalan kad armada e-hailing sebagai mekanisme subsidi operasi yang lebih telus, bersasar dan mudah dipantau.
Beliau berkata pelaksanaan kad berkenaan dicadangkan melibatkan tambahan kuota hingga 800 liter maksimum bagi kegunaan operasi e-hailing, selain 200 liter pertama yang dikekalkan sebagai subsidi penggunaan peribadi.
Antara cadangan lain yang dikemukakan ialah penubuhan jawatankuasa teknikal yang melibatkan MOF, Kementerian Pengangkutan, Agensi Pengangkutan Awam Darat, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, platform e-hailing dan TPAD sebagai wakil rasmi pemandu e-hailing.
Nathan berkata jawatankuasa itu dicadangkan bagi menilai data operasi sebenar industri sebelum sebarang perubahan dasar berkaitan subsidi atau mekanisme pelaksanaannya dilaksanakan.
Selain itu, beliau berkata TPAD juga memohon pelaksanaan moratorium penuh terhadap insurans e-hailing tahunan dan harian hingga satu mekanisme premium baharu yang lebih adil, telus dan mampan berjaya diwujudkan.
“Peningkatan premium insurans menjadi satu daripada faktor terbesar yang menjejaskan pendapatan bersih pemandu. Dalam keadaan tambang tidak disemak secara menyeluruh, ramai pemandu berdepan kesukaran untuk terus beroperasi secara sah,” katanya. – Bernama




