
KUCHING: Persidangan Pemuliharaan Malaysia (MCC) 2026 melabuhkan tirainya hari ini dengan meluluskan 15 resolusi baharu bagi memperkukuh usaha pemuliharaan secara kolaboratif di seluruh negara.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh di sebuah hotel di sini.
Persidangan itu menghimpunkan kira-kira 250 peserta daripada 37 organisasi, selain 70 peserta yang menyertai lima bengkel prapersidangan.
Sepanjang persidangan berlangsung, sebanyak 25 kertas kerja dibentangkan manakala 18 ahli panel berkongsi pandangan mengenai pemuliharaan biodiversiti, ekonomi hijau dan ekonomi kitaran, pelaksanaan pemuliharaan, perubahan iklim, alam semula jadi serta pembiayaan pemuliharaan.

Dalam ucapannya, Len Talif memuji semua agensi yang berjaya melaksanakan sepenuhnya 12 resolusi yang dipersetujui semasa MCC 2022.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa 15 resolusi baharu yang diluluskan pada MCC 2026 dapat dilaksanakan secara berkesan menerusi kerjasama berterusan, perkongsian ilmu dan komitmen daripada agensi kerajaan, pengamal pemuliharaan, institusi akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sektor korporat.
Pada majlis sama, diumumkan bahawa Sabah akan menjadi tuan rumah Persidangan Pemuliharaan Malaysia yang seterusnya sebagai kesinambungan komitmen memperkukuh usaha pemuliharaan dan pembangunan mampan di peringkat nasional serta global.



