Kerajaan Sarawak teliti semula kadar yuran FWTA, terus perjuang penambahbaikan subsidi diesel

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (tengah) dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian bergambar bersama delegasi ACCCIS selepas menerima kunjungan hormat di Kuching hari ini.

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan meneliti kemungkinan menyemak semula mekanisme kadar yuran di bawah Pendekatan Transformasi Pekerja Asing (FWTA) serta terus memperjuangkan penambahbaikan pelaksanaan subsidi diesel Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi mengurangkan beban komuniti perniagaan di negeri ini.

Komitmen itu disuarakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika menerima kunjungan hormat Persatuan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sarawak (ACCCIS) yang diketuai Presidennya, Kong Chiong Ung di sini hari ini.

Dalam pertemuan itu, ACCCIS membangkitkan beberapa isu utama yang dihadapi komuniti perniagaan termasuk kadar yuran permohonan FWTA, pelaksanaan subsidi diesel SKDS, kegiatan perjudian dalam talian haram dan penyalahgunaan dadah.

Menurut ACCCIS, pihaknya menyokong usaha kerajaan mendigitalisasikan pengurusan pekerja asing dan meningkatkan kecekapan pentadbiran, namun berharap struktur yuran sedia ada dapat dikaji semula bagi mengurangkan beban kewangan, khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Mengulas perkara itu, Abang Johari memberi jaminan kerajaan negeri akan meneliti cadangan tersebut.

“Kerajaan Sarawak akan mengkaji kemungkinan membuat pelarasan terhadap mekanisme yuran FWTA bagi mengurangkan beban yang ditanggung komuniti perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengenai isu subsidi diesel SKDS, ACCCIS berkata kuota subsidi sedia ada tidak mengambil kira keadaan unik Sarawak yang mempunyai keluasan geografi, jarak perjalanan lebih jauh serta cabaran operasi yang berbeza berbanding negeri lain.

Menurutnya, keadaan itu meningkatkan kos operasi sektor pembinaan, pertanian, logistik dan perkhidmatan, selain masih terdapat banyak kenderaan komersial yang sah tidak layak menerima subsidi.

Sehubungan itu, ACCCIS menggesa kerajaan Sarawak meneruskan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan bagi mengkaji semula kuota subsidi dan mekanisme permohonan supaya lebih fleksibel serta menepati keperluan sebenar negeri ini.

Abang Johari berkata kerajaan negeri telah menyampaikan kebimbangan tersebut kepada Kerajaan Persekutuan dan berharap dasar sedia ada dapat ditambah baik.

Beliau turut mengakui isu perjudian dalam talian haram dan penyalahgunaan dadah memerlukan perhatian serius.

“Kerajaan akan terus memperkukuh usaha menangani isu perjudian dalam talian haram dan penyalahgunaan dadah,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Abang Johari bersetuju meluluskan peruntukan RM1.5 juta kepada Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bintulu bagi menubuhkan Hab Inovasi dan Keusahawanan Bintulu.

Hab berkenaan dijangka menjadi platform kepada usahawan tempatan, khususnya PKS, untuk mendapatkan akses kepada sumber, sokongan dan peluang pembangunan perniagaan, sekali gus menggalakkan inovasi serta pertumbuhan ekonomi di Bintulu.

ACCCIS turut merakamkan penghargaan kepada Abang Johari kerana sudi meluangkan masa bertemu delegasinya dan mendengar pandangan komuniti perniagaan.

Menurut ACCCIS, pertemuan itu berlangsung dalam suasana positif dan konstruktif serta mengukuhkan komitmen kedua-dua pihak untuk terus bekerjasama memacu pembangunan ekonomi Sarawak.

Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala.