BAU: Polis Daerah Bau mengeluarkan tujuh saman atas pelbagai kesalahan trafik dalam Op Motosikal yang dijalankan selama tiga jam di beberapa jalan utama sekitar daerah ini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Bau, Supt Mohd Haide A Rahman berkata operasi yang dilaksanakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) bermula dari 11.30 pagi hingga 2.30 petang itu melibatkan Jalan Bau-Serikin, Jalan Bau-Lundu serta Jalan Bau-Kuching-Siniawan.
Menurutnya, sebanyak 33 kenderaan dan 36 individu diperiksa sepanjang operasi berkenaan.

“Sebanyak tujuh saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik, termasuk tidak memakai tali pinggang keledar, mengubah suai ekzos, memandu tanpa lesen, mengubah suai struktur kenderaan serta menggunakan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, tiada tangkapan, rampasan atau sitaan dilakukan sepanjang operasi tersebut.
“Operasi berjalan lancar dalam keadaan cuaca yang baik tanpa sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.
Oleh Connie Chieng



